Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelabur asing jual pegangan, bawa keluar RM1.53 bilion

Pelabur asing terus menjual pegangan ekuiti Malaysia minggu ini dengan nilainya melonjak kepada RM1.53 bilion dari Isnin hingga Khamis, berbanding aliran keluar bernilai RM1.43 bilion yang dicatatkan di antara 9 dengan 12 Mac, berikutan ketidaktentuan ketara yang dialami pasaran.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata apabila Indeks Turun Naik (VIX) Bursa Opsyen Lembaga Chicago (CBOE) melonjak kepada 85.47 mata baru-baru ini berikutan penularan jangkitan Covid-19, “pengukur kebimbangan” sekali gus itu melepasi paras yang dicatatkan semasa krisis kewangan global 2008.

VIX CBOE merupakan pengukur jangkaan turun naik pasaran saham bagi tempoh 30 hari.

“Peningkatan VIX CBOE memberi isyarat bahawa turun naik dalam pasaran ekuiti global dijangka berterusan, dengan Bursa Malaysia juga tidak dapat menghindarinya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, walaupun berlaku aliran keluar dana asing, namun Bursa Malaysia disokong baik oleh institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan yang kekal sebagai pembeli bersih dalam tempoh 16 hingga 19 Mac, dengan belian bersih masing-masing pada RM1.29 bilion dan RM245.6 juta.

Dalam tempoh empat hari pertama minggu sebelum ini, aliran masuk bersih daripada institusi tempatan dan pelabur peruncit tempatan masing-masing berjumlah RM967.3 juta dan RM461.8 juta.

Mohd Afzanizam berkata bagi mengurangkan kesan gelora di dalam pasaran, pihak berkuasa monetari di negara-negara utama mengambil langkah mengurangkan kadar faedah bagi penanda aras masing-masing sehingga hampir sifar.

“Kelonggaran kuantitatif di banyak negara dilaksanakan semula untuk menangkis ancaman kemelesetan.

"Ini telah menggalakkan permintaan untuk instrumen selamat seperti bon Perbendaharaan Amerika Syarikat, menyebabkan penurunan hasil Perbendaharaan bertempoh 10 tahun, yang menjadi penanda aras, kepada paras terendah sepanjang masa iaitu di bawah satu peratus baru-baru ini,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata pasaran global seolah-olah tidak yakin dengan langkah pelonggaran yang agresif dan pengurangan kadar faedah secara ketara yang dilaksanakan oleh negara-negara utama.

"Oleh itu, turun naik dijangka berterusan, dan fenomena pelabur menjual apa yang dianggap mereka sebagai pelaburan berisiko tinggi dan membeli aset selamat, dijangka kekal dalam jangka terdekat," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS