Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PDRM tubuh jawatankuasa khas kumpul senarai ahli Tabligh
Diterbitkan:  Mar 21, 2020 6:07 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberitahu pihaknya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengumpulkan maklumat dan senarai anggota jemaah Tabligh yang menyertai dalam ijtimak di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 23 Feb hingga 1 Mac lepas.

Katanya, jawatankuasa berkenaan kemudian akan membandingkan senarai serta butiran yang ada itu dengan apa yang ada pada Kementerian Kesihatan.

"Sehingga sekarang pasukan saya sudah mengumpul senarai 7,671 ahli Tabligh yang menyertai ijtimah tersebut," katanya dalam wawancara Buletin Awani Khas hari ini.

Menurut Abdul Hamid dengan membandingkan rekod yang ada itu pihak berkuasa dapat mengetahui dengan lebih tepat berapa ramai anggota kumpulan terbabit yang belum tampil membuat pemeriksaan kesihatan.

Beliau juga berkata, polis dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan bertindak tegas untuk memaksa individu yang ingkar itu untuk tampil.

Untuk rekod, kira-kira 4,000 peserta perhimpunan antarabangsa Tabligh di Masjid Seri Petaling itu dipercayai belum tampil membuat pemeriksaan.

Dianggarkan ijtimak tersebut dihadiri lebih 15,000 orang termasuk 1,500 warga asing.

Saringan dan pemeriksaan mendapati setakat ini lebih 700 peserta perhimpunan itu dikenal pasti positif Covid-19.

Harap boleh ditingkatkan

Menurut Abdul Hamid, jawatankuasa khas itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed.

Beliau turut memberitahu polis membuka kertas siasatan ke atas seorang lelaki berusia 80 tahun kerana tidak mengikut arahan membuat saringan kesihatan.

Katanya lelaki warga emas terbabit sepatutnya membuat pemeriksaan kerana rakan kepada anaknya disahkan positif Covid-19 dan pasangan anak-beranak itu tinggal serumah di Labuan.

"Kami membuka kertas siasatan. Selepas pemeriksaan kesihatan, rawatan semua reda nanti, kertas siasatan tadi akan diaktifkan," katanya.

Sementara itu Hamid berkata bahawa keadaan pada hari keempat perintah kawalan pergerakan (PKP) jauh lebih baik berbanding hari pertama.

"Sememangnya kita telah menjangkakan pada hari pertama, apabila orang ramai cuba menyesuaikan, diri masing-masing pergerakan masing-masing dengan perintah tersebut.

"Tetapi selepas masuk hari kedua, ketiga, pematuhannya begitu tinggi sekali sehingga boleh mencecah ke 90 peratus.

"Inilah yang kami harapkan tetapi kami minta ia dapat dipertingkatkan lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS