Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH sedia tawarkan khidmat Dr Dzul gantikan 'pelawak'
Diterbitkan:  Mar 21, 2020 5:37 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Ketika ancaman Covid-19 terus meningkat, Pakatan Harapan (PH) hari ini menyatakan kesanggupan untuk 'mengembalikan' Dr Dzulkefly Ahmad bagi mengepalai gerakan menghadapi wabak itu jika ada permintaan daripada kerajaan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, berkata sekarang adalah waktu untuk pelaksanaan profesionalisme yang lebih tersusun, kecekapan yang tinggi serta keseriusan bagi menyatukan rakyat Malaysia mendepani Covid-19.

"Jika terdapat permintaan daripada kerajaan untuk bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, kembali bagi menjalankan satu khidmat demi negara memimpin peperangan melawan Covid-19 ini, saya pasti Majlis Presiden PH akan mempertimbangkan permintaan ini sebaik mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pandangan itu dinyatakan veteran DAP terbabit ketika orang ramai mempertikaikan kenyataan dibuat Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam temu bual disiarkan televisten semalam.

Dalam program itu Adham menjelaskan amalan meminum air suam dapat membuat virus Covid-19 yang ada pada kerongkong disingkirkan sebelum ia memasuki paru-paru.

Virus itu, mengikut penjelasan Adham, kemudian akan dibawa masuk ke perut dan mati dengan adanya asid di situ.

Beliau juga mendakwa virus berkenaan "tidak sukakan air panas".

Kenyataan itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pakar perubatan. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga sebelum ini menafikan amalan berkenaan berkesan melawan virus Covid-19 dan menganggapnya hanya sekadar mitos.

Lim berkata tindakan pakar perubatan - termasuk Dr Amalina Bakri yang kini berada di United Kingdom - menegur kenyataan tersebut kerana tidak berdasarkan fakta memang patut dipuji.

"Kita semua perlu bersatu melawan wabak Covid-19 ini dan tidak ada ruang untuk kita membiarkan ia dipimpin oleh pelawak dalam usaha ini," katanya lagi.

Menurut Lim lagi, kesepakatan rakyat Malaysia melawan Covid-19 ini juga tidaklah bermakna tindakan menggunakan anggota tentera perlu dilakukan.

"Apa yang penting sekarang adalah untuk kita menaik taraf kemudahan perubatan sedia ada dengan menambah jumlah katil hospital, bekalan ubat-ubatan serta menambah tenaga kerja dengan memberikan keutamaan dalam melindungi petugas barisan hadapan.

"Tentera kita mempunyai pelbagai kebolehan, dengan kor perubatan, kejuruteraan, uUnit CBRNe (bahan letupan kimia, biologikal radioaktif, dan nuklear) yang boleh digembleng dalam usaha memerangi wabak ini.

"Perkhidmatan profesional seperti persediaan katil dan wad tambahan di hospital tentera juga boleh digunakan untuk membantu hospital tempatan, tetapi tidak ada keperluan untuk digunakan tentera bagi tujuan rondaan.

"China berjaya membina hospital di Wuhan yang dilengkapi dengan 1,000 katil, beberapa wad pengasingan, dan 30 pusat rawatan rapi dalam masa 10 hari. Bolehkah kita mencontohi teladan ini?" katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS