Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pusat khidmat Anwar turut agih topeng muka, pembasmi kuman
Diterbitkan:  Mar 21, 2020 4:14 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa pusat khidmat rakyat di kawasannya akan mengagihkan topeng muka dan cecair pembasmi kuman kepada penduduk kawasan itu.

Selain itu, Anwar berkata pihaknya juga menyediakan khidmat penghantaran barang keperluan asas dan bekalan perubatan kepada golongan yang memerlukan.

Pengumuman itu dibuat ketika perintah kawalan pergerakan selama dua minggu dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak koronavirus yang setakat ini mengorbankan tiga nyawa rakyat Malaysia.

Menurutnya, sebanyak 1,000 set topeng muka yang setiap set mengandungi tujuh topeng muka dan 10 botol swab alkohol akan diagihkan bersama 1,000 botol sabun anti-bakteria serta cecair pembasmi kuman.

Sebanyak 500 paket bantuan keperluan asas juga akan diedarkan kepada penerima zakat yang memerlukan, golongan asnaf dan warga emas.

“Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson mengambil inisiatif untuk mengagihkan beberapa keperluan berikut secara percuma kepada penduduk dan agensi sekitar daerah.

“Inisiatif berkenaan dilakukan dalam usaha bersama melandaikan lengkung (flattening the curve) terkait jangkitan Covid-19.

“Ia juga sebagai langkah kesedaran bagi mengingatkan mereka untuk sentiasa berwaspada dengan penularan wabak Covid-19 sekiranya terpaksa menjalankan tugasan luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, pusat khidmat rakyat itu juga akan menyediakan perkhidmatan penghantaran percuma untuk keperluan asas dan dan bekalan perubatan.

Warga Port Dickson boleh menghubungi wakil pusat khidmat rakyat, Boy Fadzrie di talian 018-2428536 untuk butiran lanjut.

“Kesemua bantuan ini diharap dapat meringankan beban warga Port Dickson,” katanya.

Inisiatif sama sebelum ini turut dilakukan anggotai parlimen pembangkang yang lain, ketika pelaksanaan perintah larangan kawalan pergerakan yang bermula dari 18 Mac hingga 31 Mac.

Antaranya anggota parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, anggota parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan anggota parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS