Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia akan bawa pulang rakyat dari India, Iran
Diterbitkan:  Mar 21, 2020 3:26 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Kerajaan Malaysia akan membawa pulang 1,565 rakyatnya di Iran dan India susulan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang terkandas di Itali perlu menunggu buat seketika kerana perbincangan masih berlangsung selepas keputusan negara Eropah untuk menghalang pesawat dari mendarat.

Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung hari ini, Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata penerbangan AirAsia dari Tehran, Iran dijadual tiba pada 6.10 pagi esok (22 Mac).

Penerbangan itu akan membawa 46 rakyat Malaysia dan lapan rakyat Singapura serta seorang rakyat Indonesia.

Lima belas anak kapal dan lapan pegawai - lima daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dua dari Wisma Putra dan satu daripada Agensi Pengurusan Bencana Nasional (Nadma) - juga akan menyertai penerbangan itu.

"Selaras dengan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semua yang dibawa pulang akan dikuarantin selama 14 hari di institut latihan awam yang akan ditentukan.

"Proses kuarantin ini penting untuk membolehkan kita memantau kesihatan mereka dan menawarkan apa-apa rawatan jika diperlukan," kata menteri itu.

Bagi 1,519 rakyat Malaysia yang terkandas di India, enam pesawat AirAsia akan membawa pulang 1,116 daripada mereka melalui penerbangan dari Chennai dan Tiruchirapalli di Tamil Nadu.

Baki 403 akan dibawa pulang melalui dua penerbangan Malaysia Airlines dari Chennai dan Mumbai.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi cuba mendapatkan izin daripada kerajaan India untuk kedua-dua pesawat MAS ini mendarat," kata menteri itu.

Kamarudin bagaimanapun tidak menyatakan tarikh penerbangan itu akan berlepas atau ketibaan yang dijadualkan.

Beliau menambah bahawa kos RM1.05 juta yang digunakan untuk menyewa penerbangan AirAsia akan ditaja oleh MIC yang merupaka n parti komponen BN.

Ketika membuat pengumuman itu, Kamarudin diiringi oleh Menteri Sumber Manusia yang juga Timbalan Presiden MIC M Saravanan.

Sementara itu, terdapat 82 rakyat Malaysia di Itali.

Jelas Kamarudin, Wisma Putra sedang berbincang dengan kerajaan Itali untuk mendapatkan kebenaran khusus bagi membawa pulang rakyat Malaysia di negara berkenaan secepat mungkin.

Tambahnya, kumpulan itu sepatutnya mendarat di Kuala Lumpur pada hari Isnin (23 Mac) tetapi pelan itu kini tergendala kerana Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Itali telah melarang semua penerbangan masuk dan keluar.

Itali telah mencatatkan jumlah kematian tertinggi Covid-19 di dunia, lebih tinggi daripada China yang merupakan negara tempat wabak itu bermula.

Sehingga hari ini, Itali melaporkan 47,021 kes dengan 4,032 kematian.

Iran yang juga terjejas teruk mecatatkan 19,644 kes dan 1,433 kematian.

Sementara itu, India mempunyai 236 kes dan empat kematian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS