Paling Popular
Terkini

Singapura merekodkan dua kematian pertama akibat Covid-19 hari ini.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata dua pesakit yang meninggal dunia itu membabitkan seorang wanita tempatan berumur 75 tahun dan lelaki warga Indonesia berumur 64 tahun.

Menurut MOH, warga Singapura itu dimasukkan ke Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID) pada 23 Feb kerana radang paru-paru dan disahkan dijangkiti Covid-19 pada hari yang sama.

Katanya wanita yang mempunyai sejarah penyakit jantung kronik dan hipertensi dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sejak dimasukkan ke NCID.

MOH menjelaskan pesakit terbabit mengalami komplikasi serius dan meninggal dunia pada 7.52 pagi tadi selepas 26 hari berada di ICU.

Sementara itu, lelaki Indonesia itu yang berada dalam keadaan kritikal dimasukkan ke ICU di NCID pada 13 Mac sejurus tiba di Singapura dari Indonesia pada hari yang sama dan disahkan dijangkiti virus itu pada 14 Mac.

MOH berkata pesakit itu yang dirawat di ICU sejak 13 Mac mengalami komplikasi serius dan meninggal dunia akibat jangkitan itu pada 10.15 pagi tadi selepas sembilan hari dirawat di ICU.

"Sejurus tiba di Singapura pada 13 Mac, lelaki itu telah dimasukkan ke hospital akibat radang paru-paru dan pesakit itu mempunyai sejarah penyakit jantung," kata MOH.

Kementerian itu dan NCID telah menghubungi anggota keluarga mereka dan memberikan bantuan kepada mereka.

Setakat semalam, sebanyak 385 kes positif Covid-19 direkodkan di republik itu dengan 131 pulih manakala 16 berada dalam keadaan kritikal di ICU.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS