Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pantau langkah gerakkan tentera berkawal, kata aktivis
Diterbitkan:  Mar 21, 2020 1:47 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

Langkah kerajaan menggunakan pasukan tentera untuk menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan perlu dipantau secara berterusan, kata peguam dan aktivis gerakan sivil, Fadiah Nadwa Fikri.

Katanya orang ramai mesti tetap memberikan perhatian kepada cara kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan penularan wabak Covid-19.

Dalam kenyataan di Facebooknya hari ini, Fadiah berkata, keputusan kerajaan mengerahkan angkatan tentera itu sesuatu yang membimbangkan.

"Sangat membimbangkan apabila melihat ramai orang yang mendakwa diri mereka progresif tetapi menyokong kezaliman kerajaan khususnya selepas pihak kerajaan memberi amaran supaya orang ramai jangan mempersoalkan kuasa polis dan tentera.

"Amaran itu dikeluarkan semalam oleh kerajaan yang merampas kuasa rakyat hampir sebulan lalu.

"Oleh itu, penting untuk kita kekal kritis dan berhati-hati. Jangan beri mereka pas kebebasan.

"Keadaan cemas sentiasa digunakan untuk memperluakan kuasa autoritarian. Perhatikan sejarah. Kita tidak mampu untuk mengetepikan pemikiran kritikal pada masa-masa berbahaya ini," katanya.

Beri pandangan terus

Sentimen Fadiah itu selaras dengan kebimbangan dinyatakan kumpulan veteran Patriot yang berpendapat bahawa langkah untuk menggunakan tentera adalah "terburu-buru dan pramatang".

Kata pertubuhan itu, menghantar tentera harus menjadi pilihan terakhir kerajaan kerana polis - dengan kekuatan 130,000 anggota - sepatutnya sudah memadai buat masa ini.

Sementara itu, PAS pula mengkritik Patriot kerana "mempersoalkan secara terbuka" pengumuman Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob semalam yang mengumumkan langkah kerajaan untuk menggerakkan tentera.

Bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad, berkata demi keselamatan negara Patriot wajar memberi pandangan terus kepada menteri itu, bukannya membuat teguran terbuka.

"Ini adalah masa bagi semua pihak untuk bekerjasama untuk memastikan keadaan kembali normal dan kebimbangan rakyat dapat dikurangkan.

"Dengan komen seperti itu, Patriot - yang terdiri daripada mereka yang pernah berkhidmat dalam tentera - boleh menyebabkan rakyat kehilangan keyakinan terhadap keupayaan kerajaan menangani masalah.

"Jika mereka kehilangan kepercayaan dalam keupayaan kerajaan, mereka akan panik dan keadaan akan menjadi tidak terkawal.

"Setiap perintah oleh kerajaan akan dipertikaikan dan rakyat tidak akan mengikutinya, ini boleh menjadi sangat berbahaya," katanya dalam satu kenyataan.

Tengah malam ini, pasukan tentera akan digerakkan untuk membantu polis memastikan orang ramai mematuhi arahan agar tetap berada di rumah sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19.

Dengan 1,030 kes positif setakat ini, Malaysia menduduki tempat keempat tertinggi di Asia. Tiga orang meninggal dunia manakala 87 telah dibenarkan balik rumah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS