Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Pusat Perubatan UiTM bantu Hospital Sungai Buloh
Diterbitkan:  Mar 21, 2020 1:34 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

Pusat Perubatan Universiti Teknologi Mara (PPUiTM) di Sungai Buloh akan mula membuka makmalnya untuk menerima sampel Covid-19 dari Hospital Sungai Buloh (HSB) pada 30 Mac ini.

Menurut pejabat komunikasi korporat PPUiTM, ini merupakan sebahagian daripada inisiatifnya membabitkan Hospital SUngai Buloh dan beberapa agensi lain untuk membantu kerajaan membendung peningkatan kes Covid-19.

"Di tengah krisis kesihatan yang belum pernah berlaku sebelum ini, PPUiTM telah bersiap sedia dengan beberapa inisiatif yang melibatkan HSB dan agensi lain.

"Menyedari kekuatan kebersamaan dalam industri kesihatan kami sangat bangga untuk berkhidmat," kata pejabat itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Jurucakapnya Dr Faizah Ali berkata PPUiTM juga telah memulakan latihan dan simulasi pengurusan Covid-19 untuk doktor dan jururawatnya, dengan rancangan menghantar mereka untuk membantu hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kami akan melatih doktor dan kakitangan kami terutama mereka yang kami hantar ke HSB, bagaimana untuk bertindak balas dan mematuhi protokol pengurusan Covid-19.

"Perjanjian itu setakat ini terutamanya dengan Hospital Sungai Buloh, untuk menghantar beberapa doktor dan jururawat kami," katanya.

Faizah berkata PPUiTM juga membuka farmasi bagi pesakit Hospital Sungai Buloh mendapatkan ubat-ubatan mereka untuk mengurangkan kesesakan di hospital berkenaan.

Dari segi logistik, hospital universiti itu bersedia menawarkan sokongannya dalam mendapatkan peralatan yang diperlukan termasuk termometer dahi, khemah kuarantin, penyaman udara mudah alih dan kipas.

Selain itu, inisiatif lain PPUiTM termasuk menyediakan kolej kediaman pelajarnya kepada kakitangan KKM, bantuan makanan kepada pegawai barisan depan oleh Zakat Selangor, dan perkhidmatan penjagaan anak-anak bagi kakitangan dalamannya.

Dilaporkan KKM menghentikan perkhidmatan lain di hospital Sungai Buloh yang tidak berkaitan dengan Covid-19 untuk memudahkan pengurusan penyakit berjangkit itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS