Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kes jangkitan Covid-19 di Malaysia akhirnya melepasi angka seribu, semalam.

Ketika kebanyakan operasi perkhidmatan diarah tutup bagi mematuhi perintah kawalan pergerakan yang diumumkan 18 Mac lalu, buat petugas kesihatan, perang melawan Covid-19 menjadi semakin genting.

Banyak perkara perlu dikorbankan.

Bagi Dr Nur Sa'idah, 32, seorang doktor perubatan (MO) di sebuah hospital di Kuala Lumpur, pengorbanan itu bermakna dia dan pasangan - seorang jururawat - harus akur untuk tidak bertemu untuk jangka masa yang lama.

“Saya dengan suami saya, dua-dua standby (siap sedia) untuk Covid-19. Kami interstate (tinggal berlainan negeri), saya di Kuala Lumpur, dia di Johor. Jadi terpaksa ikut perintah, tak boleh buat perjalanan rentas negeri.

“Tapi untuk beberapa bulan lepas, saya memang cuba, kalau boleh setiap minggu bila lapang saya akan jumpa dia, atau dia datang jumpa saya.

“Kami dah boleh agak situasi ini akan jadi,” katanya ketika dihubungi dalam nada sebak.

Kata Sa’idah, keadaan lebih sulit buat kakitangan yang perlu dikerahkan ke tempat-tempat lain, kerana jika selama ini mereka tinggal bersama keluarga tercinta, kerahan itu selalunya bermakna mereka akan tinggal berpisah sehingga beberapa minggu.

Setakat tengah hari semalam, Covid-19 telah menjangkiti 1030 orang dan meragut tiga nyawa. Sebanyak 26 kes kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Selepas kes Covid-19 semakin merebak, banyak tindakan diambil pihak hospital bagi memastikan tenaga kerja mencukupi di satu-satu tempat, dalam masa sama mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas kesihatan dan pesakit di dalam wad.

Antaranya, hospital tidak lagi menerima pelawat.

Dr Azhar, 33, seorang MO di sebuah hospital di Terengganu menceritakan bagaimana hospital kini hanya membenarkan seorang penjaga untuk pesakit di wad, dan pengawal keselamatan pula dikerah bagi mengawal pelawat yang masih lagi datang untuk melawat.

“Hospital dah batalkan pembedahan-pembedahan yang bukan kecemasan.

“[...] Laluan masuk ke bangunan hospital pun banyak dihadkan, cuti semua staf dibekukan, dan MO kontrak dah kena tarik untuk bekerja di Hospital Sungai Buloh,” katanya yang menjelaskan di hospitalnya, keadaan setakat ini masih terkawal.

Kerja lebih masa

Menurut Hidayah, 25, seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Negeri Sembilan, keadaan di hospital di swasta juga tidak banyak berbeza,

Kata Hidayah, jika sebelum ini hospital memberi rawatan untuk semua kes, kini setiap pesakit yang datang perlu melalui banyak proses saringan ketat, menyebabkan banyak kes yang ditolak kerana bimbang Covid-19 merebak kepada orang awam.

Jururawat sepertinya juga terpaksa berkorban untuk bekerja lebih masa kerana kekurangan tenaga kerja.

“Keadaan di hospital terutama di unit kecemasan agak tak terurus, kerana kita tak pernah jangka siapa yang positif Covid-19.

“Kalau sebelum ini, lebih kurang sembilan jam setiap syif (kerja), tetapi sekarang kena kerja sampai dua syif (seorang) sebab kekurangan anggota, dan dah ada anggota yang dikuarantinkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Sa’idah, sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, bilangan MO bertugas di hospital awam pada satu-satu syif dikurangkan untuk mengurangkan risiko jangkitan, bagi mengelakkan berlaku kurangnya tenaga kerja dalam kes Covid-19 yang terlepas saringan.

“Ada pesakit yang terlepas, bila dah masuk wad baru kita tahu dia positif. Jadi semua staf yang secara langsung merawat dia, memang kena kuarantinlah. Di situ kita dah kekurangan kakitangan MO,” katanya.

Sama seperti hospital-hospital lain, hospitalnya juga mengurangkan bilangan pesakit tidak kecemasan, malah hanya satu pintu keluar dan satu pintu masuk dibuka, sedangkan pintu-pintu lain semuanya ditutup.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah memaklumkan 15 petugas kesihatan disahkan dijangkiti virus tersebut- 12 dariapadanya merupakan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan tiga kakitangan kesihatan swasta.

Salah seorang kini dirawat di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan.

Buat orang ramai, Hidayah dan Sa’idah mereka memberi pesanan senada, agar rakyat akur perintah kawalan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19, dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya mereka dinasihatkan untuk membuat saringan kesihatan.

“Tolong faham kerja kami. Kami juga ada keluarga yang menanti untuk meluangkan masa bersama,” luah Hidayah.

Sa’idah turut menasihatkan orang ramai jangan pergi ke jabatan kecemasan untuk kes-kes ringan, kerana di situlah kebarangkalian tinggi terdedah Covid-19, terutamanya dari pesakit yang tidak sedar mereka sebenarnya pembawa wabak itu.

Bagi Azhar pula pesanannya ringkas sahaja: We stay at work for you, please stay at home for us. (Kami tinggal di tempat kerja untuk anda, anda duduk diam di rumah untuk kami).

Bukan Azhar sahaja yang berpesan sedemikian, malah kempen kesedaran ‘we stay at work for you, you stay at home for us’ itu disertai ramai petugas kesihatan yang memuat naik gambar mereka di tempat kerja, manakala rakyat diminta tidak keluar rumah.

Antaranya pakar buah pinggang terkenal, Dr Rafidah Abdulah dan ramai lagi doktor, jururawat, pembantu petugas kesihatan dan kakitangan-kakitangan kesihatan yang lain.

 

Buat rakan-rakan setugas yang berkorban masa dan tenaga, berada di tempat paling berisiko sebagai petugas barisan paling hadapan, pesan Azhar dan Hidayah, agar semuanya mengekalkan keikhlasan hati, sentiasa menjaga diri dan kesihatan, dan memohon perlindungan dari Tuhan.

Bagi Sa’idah, rakan-rakan setugas harus saling menawarkan sokongan antara satu sama lain dalam situasi getir dan mencabar ini.

“Kita kena banyak bersabar. Bila ada rakan yang murung (depressed), kita kena tolong. Bantu sesama kita.

“Kalau salah seorang daripada kita terkena jangkitan kuman tu (daripada pesakit), jangan salahkan sesiapa.

“Selagi boleh rehat, rehat secukupnya, sebab tenaga itu penting.

“Untuk negara Malaysia, bersamalah kita membendung penyakit ni. Jadilah rakyat yang bertanggjawab,” pesannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS