Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekalan ayam, telur cukup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan

Bekalan ayam dan telur di seluruh negara mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 hingga 31 Mac ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata jaminan itu diberikan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia dalam perjumpaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Putrajaya, hari ini.

Perbincangan itu melibatkan Ronald bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi dan 12 pemain industri peruncitan dan makanan negara.

“Untuk ayam dan telur (bekalan) pemain industri memberi jaminan kita masih lagi mempunyai lebihan dan beroperasi secara normal, “ katanya kepada pemberita selepas perbincangan selama dua jam itu.

Kiandee berkata dalam perbincangan yang berlangsung pemain industri membangkitkan beberapa perkara yang memerlukan pertimbangan Majlis Keselamatan Negara.

Antaranya ialah dari segi rantaian bekalan pengeluaran telur dan ayam dan supaya kedua-dua bahan makanan itu disenaraikan sebagai barangan keperluan, katanya.

Kiandee berkata perkara lain yang dibangkitkan dalam perbincangan itu ialah peningkatan had kuota beras untuk setiap pasar raya kerana pada masa ini orang ramai banyak bergantung kepada premis berkenaan untuk membeli beras.

Sementara itu Nanta berkata KPDNHEP tidak lagi menerima aduan pembelian panik.

“Setakat ini tidak ada masalah dari segi bekalan makanan tapi semua pihak perlu sedia untuk hadapi sebarang kemungkinan selepas ini jika penularan Covid-19 berpanjangan,” katanya.

Nanta berkata pengendali pasar raya turut diminta tidak menaikkan harga barangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengguna boleh melaporkan sebarang kenaikan harga dan isu bekalan kepada KPDNHEP melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317, katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS