mk-logo
Berita
Agong pantau pelaksanaan perintah kawalan pergerakan
Diterbitkan:  Mar 20, 2020 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini meronda sekitar ibu kota Kuala Lumpur dan Selangor bagi memantau perlaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Menurut Istana Negara, baginda telah memandu ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail dan kawasan sekitar KLCC.

Agong turut berhenti untuk bertemu beberapa pegawai polis yang sedang memantau lalu lintas di Jalan Semantan, Sri Hartamas, Jalan Loke Yew dan Jalan Ampang.

“Terima kasih kepada pihak polis yang menjalankan tugas, tadi saya juga lihat ada tiga sekatan jalan raya sebelum ini,” kata baginda yang bercakap dengan seorang pegawai polis bertugas di Jalan Ampang dalam satu video klip.

Dalam video klip berasingan yang diambil ketika Agong memandu ke lebuh raya Jalan Duta, baginda turut menjelaskan bahawa masih terdapat banyak kereta dilihat di jalan raya itu.

Baginda turut berharap jumlah kenderaan yang berada di lebuh raya dapat dikurangkan secepatnya.

“Saya harap ini dapat kurangkan secepat mungkin untuk kebaikan bersama masyarakat Malaysia khususnya di Kuala Lumpur,” katanya.

Hari ini merupakan hari ketiga perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan di seluruh negara bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Sepanjang tempoh itu, restoran dan kedai makan dibenarkan operasi bagi menyediakan makanan untuk dibawa pulang serta bagi khidmat penghantaran makanan.

Kerajaan turut mengarahkan kesemua institusi pendidikan ditutup sepanjang tempoh perintah tersebut dilaksanakan – bermula 18 sehingga 31 Mac- dan menasihati rakyat supaya tidak keluar ke rumah melainkan untuk membeli keperluan asas ataupun mendapat rawatan kesihatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS