Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelarian, PATI hadiri himpunan tabligh digesa tampil buat ujian

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menyeru pendatang asing tanpa izin dan pelarian yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur bulan lalu untuk tampil membuat pemeriksaan kesihatan.

Katanya, menurut maklumat yang diterimanya, golongan ini datang dari tujuh pusat tahfiz yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), selain menjadi ahli kepada tujuh buah persatuan.

“Kita tahu ada tujuh pusat tahfiz tak berdaftar yang mereka ada terlibat menghadiri jemaah (perhimpunan) tabligh dan ada lagi beberapa pusat pengajian agama yang diketahui terkait dengan aktiviti yang membimbangkan pihak kesihatan.

“Saya juga mendapat maklumat mereka ini ada persatuan, difahamkan tujuh persatuan yang melibatkan ahli-ahli yang memegang kad UNHCR. Saya akan memanggil ketujuh-tujuh pemimpin persatuan ini memohon kerjasama mereka untuk menyampaikan mesej kepada ahli mereka.

“Mereka kena faham, ini bukan tindakan bersifat mendenda (punitive measures), tapi ini adalah kebertanggungjawaban sivil masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Sidang Media Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan di pejabat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu disertai oleh agensi-agensi yang terlibat menangani penularan Covid-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Katanya, golongan pendatang asing tanpa izin dan pemegang kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian), termasuk daripada kalangan etnik Rohingya, didapati menjalankan aktiviti seperti menjaja dan menjual dengan warga tempatan.

Kesihatan tak mengenal kewarganegaraan

Sebahagian golongan itu, katanya, enggan melakukan pemeriksaan kesihatan secara sukarela kerana takut dengan tindakan yang mungkin diambil pihak berkuasa ke atas mereka memandangkan status mereka.

Hal itu, katanya, boleh mendatangkan kesan buruk sekiranya mereka membawa virus berkenaan dan menyebarkannya kepada orang ramai.

“Mereka tetap jadi tanggungjawab kita, kesihatan tak mengenal kewarganegaraan.

“[...] Kepada mereka, kita seru, jangan fikirkan soal takut kerana kesalahan-kesalahan tertentu (yang mereka lakukan), utamakanlah kesihatan. Kerana jika mereka tidak memberikan kerjasama, kesan akan ditanggung oleh mereka dan orang lain,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa sudah mendapat maklumat lokasi pusat-pusat tahfiz ini dan inisiatif akan diambil seberapa segera untuk bertemu mereka.

Bagaiamanapun apabila disoal tentang berapa ramai daripada golongan tersebut yang setakat ini berjaya dikesan, Annuar tidak mahu memberikan sebarang angka kerana tidak mahu menimbulkan kekeliruan.

Semalam, dilaporkan bahawa kira-kira 2,000 orang Rohingya menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, namun mereka keberatan tampil melakukan ujian kesihatan kerana status mereka, meskipun mereka menunjukkan gejala jangkitan.

Kluster tabligh itu merupakan kluster terbesar jangkitan Covid-19 di negara ini, membabitkan 576 kes daripada jumlah keseluruhan 900 kes setakat semalam.

Perhimpunan yang berlangsung 27 Februari hingga 2 Mac itu dihadiri 16,000 jemaah, termasuk 14,500 warga Malaysia. Daripada jumlah itu, masih ada kira-kira 4,000 warga Malaysia yang belum tampil membuat ujian kesihatan.

Kluster berkenaan menyebabkan peningkatan besar kes Covid-19 di seluruh Asia Tenggara.

Setakat ini, di Malaysia, 75 disahkan pulih manakala dua lagi mangsa meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS