Kerajaan menaikkan harga siling topeng muka serta melarang eksport topeng muka dengan dua warta kerajaan persekutuan.
Perintah Kastam yang baru (Larangan mengenai Eksport) (Pindaan) (No.2) 2020 dan Kawalan Harga dan Anti-pencatutan (penentuan harga maksimum) (No.2) 2020 berkuat kuasa hari ini dan menyenaraikan harga baru.
Sementara itu, harga bagi topeng muka satu lapis (gelung telinga), topeng muka dua lapis dengan gelung telinga dan topeng muka N95, kekal.
Menurut warta tersebut, harga bagi topeng muka satu lapis ialah RM0.15 seunit, atau RM7 satu kotak; topeng muka dua lapis adalah RM0.20 seunit, atau RM10 satu kotak; dan topeng muka N95 adala RM6 seunit.
Harga bagi topeng muka tiga lapis kini berharga RM2 seunit, atau RM100 sekotak.
Kerajaan juga telah melarang sepenuhnya pengeksportan topeng muka ke semua negara lain.
Larangan tersebut diumumkan selepas ramai menghadapi masalah mendapatkan topeng muka ketika negara sedang dilanda wabak koronavirus.
Semalam, Persatuan Farmasi Malaysia menggesa kerajaan untuk meningkatkan harga siling selepas beberapa premis dikenakan kompaun kerana menjual topeng muka melebihi harga maksimum.
Presidennya, Amrahi Buang berkata harga siling itu perlu dikaji semula kerana kos pengeluaran topeng muka telah meningkat dengan kenaikan kos bahan mentah serta kos lain yang berkaitan dengannya berikutan wabak Covid-19.
"Pengilang tidak akan dapat menghasilkan dan mematuhi harga siling terkawal sedia ada di kedai-kedai runcit.
"Peruncit kini menghadapi masalah untuk menjual topeng muka pada harga siling terkawal sedia ada. Ia menyebabkan kekurangan (topeng muka) atau tiada bekalan,” katanya.
Setakat ini, Malaysia telah mencatatkan 900 kes Covid-19 dengan dua kematian. Bagaimanapun, 75 pesakit telah sembuh.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu bertujuan meningkatkan bekalan topeng muka di Malaysia.
Nanta berkata langkah itu juga bertujuan menggalakkan peniaga untuk mengimport, serta menghasilkan topeng muka di mana mereka dibenarkan untuk menjualnya pada harga siling yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Mengambil contoh topeng muka tiga lapis di mana harga siling pada asalnya berharga 80 sen dinaikkan kepada RM2, katanya ini untuk menggalakkan lebih banyak import dan pengeluaran tempatan bagi topeng muka ketika kenaikan kos pengeluaran untuk menghasilkannya.
"Sekiranya harga siling terhad kepada 80 sen, maka pengeluar dan kilang tidak mampu lagi menghasilkannya kerana kenaikan harga bahan untuk membuat topeng.
"Dengan harga siling yang dinaikkan kepada RM2, ini akan menggalakkan import (topeng) ke negara kita. Kita melihat ini sebagai satu langkah untuk menangani kekurangan topeng muka," katanya pada satu sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, bersama dengan langkah kerajaan melarang eksport topeng muka dari Malaysia ke negara lain, beliau berharap agar langkah itu akandapat meningkatkan bekalan topeng muka di negara ini.