Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Alibaba, Jack Ma sumbang 2 juta topeng muka pada Malaysia, tiga negara Asean
Diterbitkan:  Mar 20, 2020 10:01 AM
Dikemaskini: 2:01 AM

Jack Ma Foundation dan Alibaba Foundation mengumumkan sumbangan bekalan perubatan ke Malaysia dan di tiga negara Asean lain.

Dalam satu kenyataan semalam, Jack Ma Foundation berkata mereka akan menghantar 2 juta topeng muka, 150,000 kit ujian, 200,000 sut perlindungan dan 20,000 penutup muka ke negara-negara tersebut.

“Yayasan ini telah menghubungi kerajaan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina dan mencadangkan pemberian sumbangan bekalan perubatan.

"Matlamat yayasan ini adalah untuk membantu memerangi virus Covid-19 di negara-negara tersebut, dengan lebih banyak sokongan daripada negara jiran yang akan menyusul.

“Kita bekerjasama dengan negara jiran Asia kita untuk melawan Covid-19," kata Jack Ma Foundation.

“Lebih banyak bantuan akan disalurkan kepada negara Asia yang lain! Go Asia," kata yayasan itu.

Malaysia kini mencatat bilangan kes Covid-19 yang tertinggi di Asia Tenggara dengan 900 kes. Malaysia juga mencatat dua kematian.

Hari ini merupakan hari ketikga pelaksanakan perintah kawalan pergerakan untuk membendung peningkatan mendadak jangkitan Covid-19.

Walaupun Indonesia mempunyai kes Covid-19 yang lebih sedikit berbanding Malaysia dengan hanya 309 kes positif, namun negara jiran itu mencatatkan 25 kematian.

Ia menjadikannya negara yang mempunyai angka kematian tertinggi di rantau ini, diikuti oleh Filipina dengan 17 kematian.

Semalam, China menyumbangkan 5,000 topeng muka dan 10,000 penutup muka kepada Malaysia untuk membantu menangani Covid-19.

Duta China ke Malaysia Bai Tian berkata ia merupakan hantaran pertama dan akan lebih banyak bekalan akan tiba tidak lama lagi.

"Sejumlah 3,500 set kit ujian akan disalurkan, kami akan menghantarnya secepat mungkin," katanya semalam.

"Kerajaan China sedang merancang untuk mendapatkan lebih banyak bahan yang diperlukan untuk Malaysia, termasuk topeng muka, sut perlindungan dan alat bantuan pernafasan,” kata Bai.

Bulan lalu, Malaysia mendermakan 18,000 pasang sarung tangan kepada China ketika negara itu dalam kemuncak menangani krisis Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS