Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M dikuarantin di rumah lepas ada kontak dengan pesakit Covid-19
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 11:09 PM
Dikemaskini: 3:21 PM

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjalani kuarantin di rumah selepas mempunyai kontak rapat dengan satu kes Covid-19.

Menurut pembantu Mahathir, hari ini adalah hari kedua ahli politik berusia 95 tahun itu dikuarantin, dan telah menjalani ujian pada Selasa lalu.

"Saya belum bebas untuk melepaskan (keputusan ujian) lagi", kata pembantu berkenaan kepada pemberita dalam satu kumpulan WhatsApp, ketika ditanya sama ada Mahathir telah menerima keputusan ujian beliau.

Tambahnya, pasangan Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah Ali tidak menghadapi sebarang isu.

Sementara itu, The Star melaporkan bahawa Mahathir dipercayai bergambar  dengan anggota Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii,  yang telah dirawat di hospital di Sarawak selepas didapati positif Covid-19..

Yii telah menceritakan keadaannya dalam hantaran di Facebook pada 17 Mac.

Menurut garis panduan Kementerian Kesihatan, individu yang mempunyai  kontak rapat dengan kes Covid-19 yang disahkan perlu menjalani ujian untuk penyakit berkenaan.

Mereka akan diarah menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari, jika tidak menunjukkan gejala dan persekitaran rumah mereka dianggap sesuai untuk kuarantin. 

Jika tidak, mereka boleh diterima masuk ke hospital.

Kontak rapat dengan kes yang disahkan juga akan dimasukkan ke hospital jika mereka diuji positif, atau jatuh sakit semasa dikuarantin.

Sementara itu, dalam satu klip video yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3, Mahathir berkata beliau akan mematuhi keperluan untuk dikuarantin.

"Saya patuh sebab amat penting dalam menangani masalah ini kita berdisiplin. 

"Kita sanggup dikurung di rumah selama 14 hari. Kalau kita buat demikian, kuranglah kemungkinan penyakit ini merebak kepada orang lain," katanya dalam klip itu, yang juga dikongsi di Facebook.

Beliau berkata tidak begitu berat baginya untuk menjalani kuarantin di rumah walaupun tidak berjumpa dengan sesiapa.

"Kita mesti berjaga-jaga. Kita mesti kawal diri kita. Kalau semasa 14 hari kita berdiam diri, kurungkan diri, tak apalah kerana ini untuk kebaikan. 

"Ini usaha kita menunaikan ajaran agama kita iaitu kita perlu usaha sendiri sebelum doa-doa kita, sembayang hajat kita, dimakbulkan oleh Allah SWT," katanya.

Beliau juga menasihati orang ramai terutama mereka yang tinggal di bandar supaya tidak menggunakan kesempatan itu untuk pulang ke kampung.

"Kalau kita balik ke kampung seolah-olah kita bercuti, mungkin kita bawa penyakit ini ke kampung.

"Dan di kampung kita tak jaga diri, kita bersalam-salaman, orang kampung pula yang dapat penyakit ini. 

"Oleh itu jangan lah balik ke kampung. Tinggallah di mana kita berada, di Kuala Lumpur ini, tetapi jangan keluar dan asingkan diri daripada orang lain," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS