Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images

Pihak polis di Selangor meneruskan operasi pada hari kedua perintah kawalan pergerakan bagi memastikan orang ramai mematuhi perintah berkenaan dalam usaha membendung penyebaran wabak Covid-19.

Di Klang, ketika kebanyakan premis ditutup, beberapa orang dilihat melepak-lepak dan hanya beredar selepas melihat kehadiran polis yang meronda kawasan itu.

Di Lorong Batu Tiga, Klang, sekumpulan tiga orang dilihat bermain dam.

Seorang lelaki tua yang merupakan salah seorang daripada ketiga-tiga mereka berkata, dia datang dari Kapar dengan menaiki bas untuk bertemu rakan-rakan walaupun mengetahui larangan berkenaan.

Kira-kira 100 meter dari kumpulan itu dan di belakang deretan rumah kedai, sekumpulan warga asing melepak dan cepat-cepat beredar apabila pihak polis menghampiri mereka.

Sementara itu, meskipun restoran dibenarkan dibuka, pihak polis menasihatkan pengendali melipat meja bagi mengelakkan orang ramai makan di premis mereka.

Di Kota Damansara, sebuah pusat refleksologi dibuka dan seorang lelaki yang dipercayai menjadi pelanggan berjalan keluar apabila polis memasuki premis tersebut untuk membuat pemeriksaan.

Pengendali pusat berkenaan didengar berkata bahawa dia sedang menunggu barang daripada penghantar barang.

Dia cepat-cepat menutup premis itu selepas dinasihatkan untuk berbuat demikian oleh pihak polis.

Di kawasan yang sama, dua trak makanan diarahkan tutup.

Salah satu pengendali berkata peraturan itu berbeza di antara Kuala Lumpur dan Selangor dan mendakwa dia dibenarkan menjalankan perniagaan seperti biasa.

Bagaimanapun, apabila polis menjelaskan bahawa peraturan itu sama seperti di tempat lain, dia akur atas nasihat itu dan menutup perniagaannya pada masa itu.

Semasa operasi taklimat pagi ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata berdasarkan operasi semalam, masih ramai yang tidak mengambil berat tentang ancaman Covid-19.

"Kita akan meneruskan operasi bagi memastikan masyarakat faham dan mematuhi arahan.

"Bagi mereka yang masih degil, kita akan ambil tindakan serius kerana berdasarkan operasi semalam, seolah-olah mereka masih tak peduli," kata Fadzil.

Lebih banyak pemeriksaan dan sekatan jalan raya dijangka akan dilakukan apabila polis menggiatkan usaha dalam memastikan orang ramai berada di rumah. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS