Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Pertambahan kes baru Covid-19 kian mendatar
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 5:33 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Peningkatan kes baru Covid-19 di Malaysia tampak sudah mula mendatar, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau menyifatkannya sebagai petanda baik kerana kerajaan tidak mahu negara mengalami peningkatan pesat kes seperti yang dilihat di beberapa negara lain.

"Kita tak mau kes Covid-19 naik mendadak atau secara exponential, trend negara luar hari ini masih lagi peningkatan terus (kes Covid-19).

"Di negara kita, (peningkatan kes) mula dekat (tidak terlalu berbeza). Contohnya pada 16 Mac 125 kes, 17 Mac 120 kes, 18 Mac 117 kes, dan hari ini 110 kes.

"Ia sudah mula mendatar, ini tanda baik perintah (kawalan pergerakan) dan cara kawalan yang lain," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Perintah kawalan pergerakan mula berkuat kuasa semalam sehingga 31 Mac ini. Bagaimanapun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata ia mungkin dilanjutkan jika penularan wabak tersebut belum dapat dibendung sepenuhnya.

Adham berkata keadaan dalam negara ini terus bertambah baik.

"Doakan ia terus mendatar, kita ada 12 hari lagi (penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan)," katanya.

Beliau berkata pendataran kes baru bukan saja kerana perintah tersebut, tetapi dengan meningkatnya kesedaran rakyat untuk mengamalkan penjarakkan sosial.

Katanya, keutamaan kini kekal untuk mengesan saki-baki peserta himpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur akhir bulan lalu, memandangkan ia merupakan kluster terbesar jangkitan Covid-19.

Kementerian Kesihatan setakat ini berjaya mengesan 10,000 daripada kira-kira 16,000 peserta.

Dalam perkembangan berkaitan, Adham berkata pesakit 26 sedang menjalani rawatan dengan baik dan tiada tanda dia mengalami jangkitan peringkat kedua.

Pesakit 26 adalah sebahagian daripada kluster penularan kedua terbesar selepas kluster Tabligh.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 900 kes positif Covid-19 dengan dua kematian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS