Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Arahan tangkap’: Jawapan saya - tak betul, kata IGP

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador menafikan mesej tular yang mendakwa bahawa pihak polis merancang untuk menahan atau menangkap orang ramai yang berada di luar rumah tanpa alasan yang sah.

“Jawapan saya - tak betul,” katanya kepada Malaysiakini.

Mesej tular itu mendakwa bahawa "siaran akhbar" terbaru dari polis menyatakan bahawa mereka yang berada di luar rumah tanpa alasan "boleh ditahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit".

Mesej itu juga mendakwa bahawa mereka yang tidak memakai topeng semasa sekatan jalan raya akan dikenakan denda RM200 serta-merta.

Ketika ini, kerajaan dan pihak polis merayu orang ramai supaya tinggal di rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan yang berkuatkuasa semalam hingga 31 Mac.

Ini adalah untuk membendung penularan pandemik Covid-19.

Sejak semalam, polis membuat sekatan jalan raya untuk menasihatkan orang ramai supaya tinggal di rumah.

"Buat masa ini, kami memberi nasihat kepada mereka supaya hanya keluar jika ada keperluan atau semasa kecemasan sahaja,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat.

Ini, menurut beliau, termasuk nasihat kepada orang ramai supaya tidak keluar dalam kumpulan semasa membeli makanan dan keperluan asas.

Sementara itu, polis juga menjalankan rondaan dalam usaha untuk menggalakkan orang ramai tinggal di rumah dan tidak mengadakan perhimpunan sosial.

Menteri Pertahanan Ismal Sabri Yaakob juga berkata bahawa tentera boleh dikerahkan jika rakyat masih ingkar mematuhi perintah kawalan pergerakan itu.

Walau bagaimanapun, Ismail berkata, buat masa ini, beliau percaya keupayaan polis untuk meningkatkan kadar pematuhan dan jika keadaan bertambah baik, maka tentera tidak perlu dikerahkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS