Tiga hari lalu sebelum pengumuman perintah kawalan pergerakan dikeluarkan bagi membendung pandemik Covid-19, orang ramai mula membuat pembelian panik.
Antara yang turut keluar membuat pembelian barangan ialah bekas pemain badminton negara, Lee Chong Wei.
Menulis di Facebooknya, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata beliau mengunjungi pasar raya pada Isnin untuk membeli barangan.
Barangan terakhir dalam senarai beli-belahnya ialah tisu tandas dan ketika itulah ‘drama’ bermula.
“Aduhai! Ramainya makcik-makcik, macam lumba troli marathon. Kalah Khairul (hafiz) Jantan (Raja Pecut Asia Tenggara). Nasib baik sempat lagi kumpul senarai barangan yang diberi isteri.
“Tapi (untuk ambil) tisu tandas saya terlambat. Ternganga saya tengok mamat depan saya ambil 10 beg tisu jamban. Banyaknya dubur kat rumah.
“Saya masih ingat masa dulu, situasi wabak yang bahaya air paip pun akan jadi bahaya. Sebab itu tisu tandas jadi penting,” tulis Lee malam tadi.
Selepas itu, seorang kawannya yang dikenali sebagai Nazir menghampiri beliau di pasar raya berkenaan dan memberinya satu beg tisu tandas.
“Datang satu suara dari belakang berkata “Lee, nah ambil beg ni. Saya terambil dua. Tadi saya tengok semua berebut nak ambil, wa (saya) pun terikut ambil lebih. Entah kenapa, bukan saya pakai untuk basuh pun”,” tulisnya lagi.
Legenda badminton negara itu kemudian menasihatkan orang ramai agar membeli barangan yang mencukupi sepanjang perintah kawalan pergerakan selama dua minggu serta duduk di rumah.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak pulang ke kampung seperti cuti hari raya bagi mengelakkan sebarang jangkitan.
“Simpanlah makanan tapi berpatutanlah bilangannya. Dan saya minta tolong semua duduk di rumah, jangan keluar sementara ini. Jangan balik kampung macam cuti raya.
“Kau mungkin OK, tapi yang mati nanti orang tersayang.
“Kita warga Malaysia tak kira bangsa dan agama berganding bahu, bertolak ansur, tolong menolong. Hari itu akan sampai dengan lebih cepat.
“Kepada barisan hadapan para doktor, jururawat, kakitangan hospital dan juga juruwang pasar raya yang terus berkhidmat dalam masa ini, terimalah tunduk hormat dari saya.
“Cara paling baik kita membalas budi dan sumbangan ialah dengan #stayathome”,” kata Lee lagi.