Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sarawak arah kedai makan tutup jam 8 malam
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 12:04 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

Kerajaan Sarawak telah mengarahkan semua restoran, kedai menjual makanan dan minuman ditutup seawal jam 8 malam sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

Arahan waktu penutupan operasi restoran ini dikeluarkan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Antonio Kahti Galis itu berkuat kuasa sejak malam semalam.

“Selari dengan pengumuman perintah kawalan pergerakan bermula Mac 18 hingga 31 oleh Ketua Menteri Sarawak (Abang Johari Openg), semua kedai menjual makanan dan minuman, kedai kopitiam diarahkan tutup pada pukul 8 malam setiap hari sehingga notis lanjut diberikan,” kata Antoni.

Kerajaan negeri turut meminta rakyat meningkatkan kesedaran dan memberi kerjasama dalam melaksanakan perintah tersebut.

Untuk rekod, perintah kawalan pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari Isnin lalu bertujuan bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Antara perintah yang dikeluarkan adalah semua restoran dibenarkan buka, bagaimanapun pelanggan hanya dibenarkan membawa makanan pulang dan dilarang sama sekali untuk makan dan minum di kedai berkenaan,

Dalam perutusan khas semalam, Muhyiddin berkali-kali memberitahu rakyat Malaysia bahawa makanan masih boleh dibawa pulang tetapi lebih baik menggunakan khidmat penghantaran makanan.

“Jangan gunakan cuti dua minggu ini untuk lepak di kedai mamak. Saya pun suka (lepak) tetapi kita tidak boleh lakukannya sekarang. Tolong jangan. Jika kita terus berbuat demikian, ia akan meningkatkan risiko penularan wabak tersebut.

“Elakkan untuk berjumpa dengan rakan di restoran, kopitiam, pusat hiburan atau di mana tempat berisiko tinggi dijangkiti Covid-19,” katanya.

Setakat ini, Malaysia merekodkan sejumlah 790 kes positif dijangkiti wabak tersebut dan dua kematian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS