Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP pembangkang tawar hantar barangan runcit untuk warga emas
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 11:26 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

Tiga anggota parlimen pembangkang tampil menawarkan perkhidmatan penghantaran barangan runcit percuma kepada warga emas di kawasan masing-masing semasa tempoh perintah kawalan pergerakan.

Anggota parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan inisiatif itu di Facebooknya semalam.

Khas untuk golongan yang berumur 60 tahun dan ke atas, perkhidmatan itu memerlukan pengguna untuk menghantar maklumat peribadi dan senarai barangan runcit kepada nombor WhatsApp pejabatnya.

Setelah diluluskan, bayaran untuk barangan tersebut akan dijalankan secara dalam talian atau sewaktu menerima barangan tersebut kepada wakil yang dilantik.

Tiada caj penghantaran akan dikenakan dan perkhidmatan ini akan dijalankan pada 10 pagi hingga 5 petang dalam tempoh 24 jam setelah senarai barangan tersebut diterima.

Nik Nazmi Nik Ahmad

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, Nik Nazmi berkata pejabatnya dibanjiri dengan permohonan sejak inisiatif tersebut dilancarkan.

“Usaha ini untuk menolong warga emas, yang paling terkesan dengan Covid-19.

“Sebahagian daripada mereka tiada ahli keluarga yang boleh menolong, jadi ini sumbangan kecil yang kami boleh bantu pada peringkat tempatan,” katanya.

Seramai lima belas staf dan ahli PKR Setiawanga diberikan sedikit elaun untuk menjalankan perkhidmatan tersebut.

Anggota parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik mengumumkan menawarkan perkhidmatan yang sama untuk warga emas di kawasannya.

Muhammad Bakhtiar Wan Chik

Penularan wabak Covid-19 yang makin membimbangkan dan perintah kawalan pergerakan telah mencetuskan pembelian panik untuk barangan makanan keperluan, menyebabkan barisan panjang di kaunter serta rak-rak pasar raya kosong.

Namun, kerajaan masih memberi jaminan bekalan makanan masih mencukupi.

Sesetengah peruncit menetapkan waktu khas untuk warga emas membeli barangan bagi membolehkan mereka mendapatkan bekalan.

Penghantaran percuma untuk golongan memerlukan, B40

Sementara itu, anggota parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma kepada warga emas, golongan memerlukan dan komuniti berisiko di kawasannya.

Operasinya bermula dari 6 petang hingga 10 malam setiap hari dan perkhidmatan tersebut merangkumi barangan runcit, ubat-ubatan dan bekalan makanan asas.

Nurul Izzah Anwar 

Bercakap dengan Malaysiakini, Nurul Izzah berkata dia berharap inisiatif akan membantu golongan berisiko seperti keluarga B40 yang mempunyai anak yang memerlukan bantuan khas, warga emas yang tinggal bersendirian dan mereka yang menerima bantuan kerajaan.

“Ketika mengetahui krisis nasional dan pandemik seperti ini, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang bergantung kepada bantuan kebajikan berada dalam keadaan sangat memerlukan bantuan dan sokongan, jadi kita perlu bantu.

“Kita kena bekerjasama – peringkat persekutuan dan juga negeri – untuk memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya ketika dihubungi.

Anggaran waktu penghantaran dalam tempoh masa 15 minit dan Nurul Izzah turut menyatakan topeng muka adalah barangan yang utama dipesan setakat ini.

Inisiatif beliau dijalankan oleh 15 orang sukarelawan terdiri daripada anggota belia PKR di kawasannya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS