Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Peniaga sewa premis DBKL, tak perlu bayar sewa sebulan'
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 10:07 AM
Dikemaskini: 2:47 AM

Menteri Wilayah, Annuar Musa mengumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak akan mengenakan sewa sebulan kepada perniagaan yang menyewa premis DBKL, serta bantuan kepada 500 pekerja harian DBKL.

Ini susulan perintah kawalan pergerakan selama dua minggu yang berkuat kuasa semalam hingga 31 Mac ini bagi membendung penularan koronavirus Covid-19.

Selain daripada pengecualian sewa, Annuar yang juga MP Ketereh mengumumkan 500 pekerja harian DBKL akan mendapat bayaran penuh walaupun mereka tidak bekerja sepanjang tempoh 14 hari perintah itu.

"Berkenaan 806 orang yang dikuarantin di Masjid SRi Petaling di Kuala Lumpur, makan dan minum mereka ditaja dengan dana sehingga RM300,000," kata menteri pada pengumuman yang dibuat stesen penyiaran rasmi kerajaan, RTM tadi malam.

Sekitar 16,000 orang, yang mana 14,500 daripadanya ialah rakyat Malaysia, telah mengambil bahagian pada perhimpunan tabligh di masjid itu selama beberapa hari bermula 27 Februari lalu.

Majlis itu kemudian dikaitkan dengan kluster jangkitan besar Covid-19 di Malaysia dan di negara-negara lain di rantau Asia Tenggara, termasuk di Kemboja dan Brunei.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan 790 kes koronavirus, kira-kira 513 kes dikesan berkaitan dengan perhimpunan tabligh di Sri Petaling.

Walau bagaimanapun, daripada 790 kes, 60 pesakit telah sembuh, manakala dua kematian direkodkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS