Paling Popular
Terkini

ULASAN | Parasite, filem arahan Bong Joon-ho yang memenangi anugerah Oscar tidak lama dulu bermula dengan sudut pandang sebuah keluarga besar Kim yang hidup dalam serba kesusahan setelah kehilangan sumber pendapatan, di sebuah rumah bawah tanah di tengah bandar Seoul.

Mereka tidak mampu dalam segala segi. Anak-anak bergerak ke setiap pelusuk rumah sehingga memanjat tinggi untuk mencari gelombang wifi jiran-jiran berdekatan. Setelah itu, baru mereka berjaya menggunakan Whatsapp untuk menghubungi syarikat pizza yang memberi mereka kerja sambilan melipat kotak pizza bagi mengutip bekalan dan bayaran yang seterusnya digunakan membeli makanan dan keperluan asas.

Namun, apabila syarikat pizza tidak berpuas hati dengan hasil kerja mereka dan mengurangkan bayaran secara drastik, ia telah meletakkan mereka sekeluarga dalam satu situasi sukar dan amat mendesak.

Pengumuman perintah kawalan pergerakan yang diumumkan baru-baru ini adalah satu langkah baik dalam usaha memutuskan rangkaian jangkitan dan penularan pandemik Covid-19 melalui penjarakkan sosial.

Bagi mereka yang bekerja tetap atau kontrak di sektor awam dan swasta, ini bermaksud penutupan premis tempat kerja dan perniagaan daripada 18 Mac sehingga ke 31 Mac 2020. Pelbagai insentif oleh pihak majikan untuk menjaga kebajikan pekerja seperti pembayaran gaji awal, tiada pemotongan gaji walaupun bekerja dari rumah serta bekalan penutup muka dan pembasmi kuman percuma.

Pembayaran gaji awal dan akses kepada kemudahan kad kredit dan pinjaman serta simpanan tunai membolehkan ramai orang berpusu-pusu membeli pelbagai keperluan harian dan makanan sebelum perintah kawalan pergerakan bermula.

Pengumuman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memberi kelonggaran masa tambahan dua bulan kepada pembayar cukai untuk menghantar borang cukai juga amat dialu-alukan. Ini adalah antara pelbagai bentuk bantuan langsung atau tidak langsung yang membentuk suatu jaringan keselamatan sosial, seterusnya memberi ketenangan minda kepada mereka yang terbabit.

Dengan pengurangan drastik jumlah pelancong daripada seluruh negara, industri pelancongan termasuk operator hotel, agensi pelancongan, kereta sewa, industri perkhidmatan, pusat membeli belah dan industri penerbangan telah amat terkesan.

Pengurangan jumlah jualan dan unjuran permintaan dan pelan perjalanan sehingga 2021, dijangkakan akan mewujudkan pelbagai kesan seperti kehilangan pekerjaan, pengurangan upah, kelewatan pembayaran gaji, bil air dan elektrik, ketidakmampuan membayar sewa, hutang dan kekangan aliran tunai bagi mereka yang terlibat.

Pengumuman terbaru menyatakan penutupan pasar malam dan gerai bermula 18 Mac adalah suatu langkah baik dalam usaha ‘social distancing’. Namun ia juga bermaksud ramai peniaga kecil dan sederhana yang akan kehilangan punca pendapatan harian.

Harus diingat bahawa kebanyakan peniaga kecil ini dan mereka yang terkesan juga adalah daripada golongan rentan seperti ibu atau bapa tunggal, orang kurang upaya (OKU), B40 dan miskin tegar yang mengharapkan pendapatan harian tunai untuk membeli makanan dan keperluan. Mereka ini hidup dalam keadaan yang amat sederhana dan ada juga yang ibarat “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.

Kajian Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan 75 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan minima RM1,000, dengan hanya enam peratus mempunyai wang mencukupi untuk menyara hidup enam bulan pada waktu kecemasan atau tempoh sukar manakala 18 peratus lagi boleh menampung kos hidup selama 3 bulan.

Realitinya lebih 80 peratus rakyat Malaysia adalah bukan golongan pembayar cukai. Lebih menyedihkan lagi sekiranya ada yang terpaksa berhutang dengan ah long atas desakan ekonomi dan hutang lain.

Isunya di sini adalah bagaimana kita dapat membentuk satu jaringan keselamatan sosial bagi majoriti rakyat marhaen yang tidak berada di dalam kelompok keselamatan sosial sedia ada, dan segera melindungi kepentingan rakyat dalam memastikan kesinambungan dan kelangsungan hidup serta memberikan komunikasi jelas akan usaha-usaha ini:

Ekonomi Digital - Krisis abad ke-21 memerlukan penyelesaian abad ke-21. Seperti apa yang kita lihat pelbagai industri yang kurang terjejas dengan isu Covid-19 adalah yang telah bersedia dengan model ekonomi atas talian atau alam maya.

Namun seperti yang dikiaskan di awal cerita, walaupun di negara serba maju seperti di Korea Selatan, terdapat isu kesenjangan teknologi di mana golongan rentan yang paling memerlukan masih tidak mempunyai akses kepada internet, telefon pintar dan ilmu pemasaran atas talian.

Solusi jangka pendek memerlukan gabungan dan kerjasama platform-platform sedia ada (seperti Tesco Online, Jaya Grocer, FashionValet, Shopee, Lazada etc) untuk bekerjasama membantu dalam memasarkan lebih banyak produk industri kecil dan sederhana yang terjejas dengan penutupan premis dengan kadar segera. Individu yang mahir dalam bidang ini juga boleh menjadi sukarelawan dalam membantu mereka yang terkesan.

Buat jangka masa panjang, dalam usaha mempercepatkan kesiapsiagaan digital, pelbagai latihan boleh diberi supaya peniaga kecil lebih terdedah kepada ekonomi digital seperti ‘Dapur Barang Basah’ yang beroperasi sepenuhnya melalui Instagram.

Cuti Bil dan Hutang Rumah dan Kereta – Pandemik global yang berlaku memerlukan solidariti dan kerjasama pelbagai sektor awam dan swasta. Apa yang amat membantu ketika ini adalah sekiranya syarikat utiliti dan air negara dapat memberi jaminan bahawa tiada pemotongan akan dibuat bagi individu dan perniagaan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Jaminan itu boleh dibuat untuk suatu tempoh masa, misalnya sewaktu perintah kawalan pergerakan dan beberapa minggu seterusnya sehingga situasi lebih stabil.

Pihak bank dan majlis perbandaran boleh juga memberikan kelonggaran dengan menetapkan tiada rumah dan aset akan disita dalam tempoh ini buat mereka yang memohon. Untuk memudahkan pengurusan dan mengelakkan rakyat berkumpul di cawangan, permohonan bolehlah dibuat di atas talian.

Bagi syarikat-syarikat besar anggaplah ini sebagai suatu usaha mengisi tanggungjawab sosial, bagi menggantikan program-program kebajikan yang telah terbatal atau ditangguh.

Bantuan tunai dan barangan keperluan penting untuk golongan rentan – Adalah suatu keperluan tinggi untuk diwujudkan bank makanan di mana rakyat yang memerlukan boleh segera mendapatkan bekalan makanan penting, pembasmi kuman dan penutup muka percuma serta untuk rakyat memberikan sumbangan di dalam bentuk kewangan dan barangan keperluan.

Ini juga boleh dilaksanakan oleh syarikat-syarikat besar di dalam usaha tanggungjawab sosial mereka. Bantuan khas kerajaan seperti BR1M untuk Covid-19 juga sangat-sangat dialukan, sekiranya ini berada di dalam lingkungan kemampuan negara.

Komunikasi dengan Empati – Berdasarkan pemerhatian, rakyat Malaysia adalah sangat berdaya tahan dan cekal menghadapi cabaran hidup. Walaupun sukar, kita yakin, pelbagai usaha dan jalan akan dicari untuk menghadapi cabaran pandemik Covid-19 ini.

Parasite menunjukkan jurang yang wujud dalam masyarakat berpunca daripada kelemahan komunikasi antara kelompok menengah ke atas dan marhaen ke bawah. Ini dapat diatasi dengan usaha setiap daripada kita untuk berkomunikasi dengan sudut pandang cuba memahami dan bukan untuk terus menghukum. 


SITI KAMARIAH AHMAD SUBKI adalah bekas penasihat ekonomi dan kewangan Sidang Kemuncak Kemanusiaan Sejagat PBB di New York, USA, yang percaya usaha membina keamanan adalah satu usaha berterusan yang memerlukan kita semua bersama-sama ke arahnya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS