Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kempen Melawat Malaysia 2020 (VM2020) dibatalkan serta-merta bagi mencegah penularan wabak Covid-19, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.

Nancy berkata, keputusan itu berikutan impak penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan serta menjejaskan sektor pelancongan di Malaysia dan dunia secara amnya.

Beliau berkata berikutan perintah kawalan pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19, kementerian turut membekukan semua urusan kaunter dan perkhidmatan dalam talian bagi permohonan baru, pembaharuan lesen pengendalian pelancongan, pemandu pelancong, Institut Latihan Pelancongan dan pendaftaran penarafan premis penginapan pelancongan, spa dan pusat urutan kaki.

“Pembekuan semua perkhidmatan kaunter dan dalam talian di Bahagian Pelesenan Pelancongan serta Pejabat Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) Negeri berhubung pelesenan pelancongan seperti pelesenan syarikat pengendali pelancongan, pemandu pelancong, Institut Latihan Pelancongan dan pendaftaran penarafan premis penginapan pelancongan, spa dan pusat urutan kaki adalah berkuat kuasa serta-merta sehingga 31 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Nancy Shukri

Nancy berkata selaras dengan pengisytiharan perintah kawalan pergerakan, semua premis penginapan pelancong masih dibenarkan beroperasi, namun secara minimum.

“Semua tetamu premis penginapan pelancong hendaklah berada di dalam bilik penginapan mengikut tempoh berkenaan dan tempahan sajian hendaklah dibuat secara ‘room service’.

“Proses pendaftaran tetamu (check-in) ke premis penginapan pelancong bagi tempoh perintah berkenaan adalah dibenarkan, tetapi dalam skala yang kecil dan dihadkan,” katanya.

Bagaimanapun, Nancy berkata pelancong domestik baru yang ingin mendaftar masuk ke premis penginapan pelancong tidak dibenarkan.

VM2020 yang dilancarkan pada 31 Dis lepas, menyasarkan kemasukan 30 juta pelancong dan menjana RM100 bilion pendapatan daripada industri pelancongan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS