Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan tak tolak kemungkinan lanjutkan perintah kawalan pergerakan
Diterbitkan:  Mar 18, 2020 8:46 PM
Dikemaskini: 1:56 PM

Kerajaan tidak menolak kemungkinan tempoh perintah kawalan pergerakan akan dilanjutkan, jika penularan wabak Covid-19 dilihat belum berkurangan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, justeru penting untuk orang ramai melaksanakan penjarakkan sosial dengan berada di rumah, bagi mengelakkan diri dan keluarga daripada terdedah wabak itu.

"Kita hendak putuskan rantaian jangkitan. Supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak Covid-19 ini dapat dikurangkan.

"Covid-19 mempunyai hayat inkubasi dua minggu.Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas dari Covid-19.

"Jika dalam tempoh ini kita belum berjaya sepenuhnya, Kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh perintah kawalan (pergerakan)," katanya dalam ucapan khas yang disiarkan secara langsung di kaca TV hari ini.

Oleh itu, perdana menteri sekali lagi mengingatkan orang ramai berkenaan tujuan perintah kawalan pergerakan dibuat.

"Kalau saudari-saudari bergerak ke sana sini, apatah lagi bersesak di tempat awam, kemungkinan untuk bersentuhan adalah tinggi.

"Jadi (dengan perintah kawalan pergerakan) mereka tidak akan bersentuhan dengan rakan-rakan yang mungkin membawa virus Covid-19.

"Tetapi jika saudara-saudari masih bergerak ke sana sini, kemungkinan bersentuhan dengan orang lain dan mendapat jangkitan wabak ini adalah tinggi," katanya lagi.

Perintah kawalan pergerakan selama dua minggu, yang bermula hari ini sehingga 31 Mac, bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19.

Perintah itu, antara lain:

  • Larangan terhadap semua perhimpunan termasuk kegiatan keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
  • Semua premis perniagaan ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
  • Warga dilarang ke luar negara, manakala mereka yang kembali dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari.
  • Sekatan kemasukan terhadap pelancong dan pelawat asing.
  • Penutupan semua sekolah dan institut pengajian di setiap peringkat.
  • Penutupan premis kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan penting iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS