Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU IPCMC akan diperhalusi semula, kata menteri
Diterbitkan:  Mar 18, 2020 6:42 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan diperhalusi semula sebelum dibawa ke Kabinet untuk diputuskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

"Kabinet hari ini memutuskan status Rang Undang-Undang IPCMC akan diteliti dan diperhalusi semula saya bersama Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

"Hasil perbincangan tersebut akan dibawa ke peringkat perbincangan dalam Kluster Keselamatan yang dipengerusikan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob sebelum dibawa ke Mesyuarat Kabinet untuk diputuskan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

RUU IPCMC dibentang untuk bacaan pertama di Parlimen pada Julai lalu, ketika pentabdiran PH.

Tujuannya antara lain untuk meningkatkan integriti polis, menyiasat aduan salah laku anggota polis dan merangka mekanisme untuk mengesan, menyiasat dan menghalang salah laku pasukan itu.

Ia juga diberi peranan untuk menasihati kerajaan berkenaan langkah yang wajar - termasuk merangka undang-undang - bagi meningkatkan integriti polis.

Selepas dibantah sejumlah pihak, termasuk anggota parlimen BN, perbahasan untuk RUU tersebut ditangguh dua kali, dan ia juga dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang untuk semakan semula.

Kerajaan PH sebelum ini menyasarkan untuk membentangkan RUU tersebut bagi bacaan kedua dan ketiga pada sidang Dewan Rakyat pertama tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS