Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian batal keputusan, Talian Kasih kekal dibuka
Diterbitkan:  Mar 18, 2020 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Talian Kasih, yang merupakan talian khas untuk menyampaikan aduan terutama berkaitan penderaan dan keganasan rumah tangga, kekal beroperasi.

Ia selepas kerajaan membatalkan keputusan untuk menghentikan operasinya sepanjang dua minggu tempoh perintah kawalan pergerakan.

"Terima kasih untuk maklum balas yang diberikan oleh anda semua. Suka cita kami maklumkan, Talian Kasih 15999 dan Talian Kasih Whatsapp 019-2615999 akan beroperasi semula," kata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Twitter.

Menterinya Rina Harun dalam kenyataan pula berkata, kkeputusan itu selepas mengambil kira keperluan golongan wanita, kanak-kanak, OKU serta warga emas.

"Talian Kasih akan diteruskan dengan tujuan sedia ada untuk menerima aduan isu wanita, keluarga dan masyarakat, khususnya menangani kejadian kecemasan berkaitan kebajikan dan kemasyarakatan," katanya.

Terdahulu hari ini, kementerian itu memaklumkan talian tersebut akan dututp sehingga 31 Mac, dan menasihat orang ramai untuk menghubungi 999 atau 112 untuk sebarang kecemasan.

Makluman awal berkenaan penutupan sementara Talian Kasih

Pengumuman itu dikritik sejumlah pihak, antaranya oleh bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengatakan talian itu sebenarnya menjadi lebih penting di saat rakyat perlu berada di rumah.

"Hanya kerana semua diminta untuk duduk di rumah tidak bermakna mereka tidak lagi mempunyai masalah, atau tiada kanak-kanak yang hilang atau didera

"Malah, dalam keadaan rakyat diminta untuk duduk di rumah pada waktu yang panjang, Talian Kasih ini boleh menjadi lebih penting bagi mereka yang mempunyai masalah atau mengalami kemurungan," katanya dalam kenyataan.

Bekas timbalannya Hannah Yeoh pula berkata talian itu penting untuk golongan sasaran iaitu kanak-kanak, warga emas, OKU dan mangsa keganasan rumah tangga.

Katanya lagi, penutupan sementara talian itu tidak berlaku di saat Wan Azizah berada dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN), tidak seperti sekarang di mana tiada wanita yang menganggotainya.

Anggota Parlimen Pengerang dari Umno, Azalina Othman Said juga tidak setuju dengan langkah itu, dan meminta Rina menjelaskan mengapa ia mahu ditutup sedangkan MKN membenarkan "perkhidmatan atas talian" diteruskan sepanjang perintah kawalan pergerakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS