Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Demi anak, doktor potong rambut elak dijangkiti Covid-19

Seorang doktor yang menjadi barisan hadapan menangani isu Covid-19 berkongsi langkah drastik yang dilakukannya bagi mengurangkan risiko penyebaran virus berkenaan kepada dua anaknya.

Pegawai perubatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, Dr Faiqah Nastasha Mohamed Sam memberitahu, antara langkah yang diambil ialah mandi beberapa kali dalam sehari.

Seperti doktor lain, Faiqah dikehendaki memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ketika bersentuhan dengan pesakit Covid-19. 

Selepas meninggalkan wad pengasingan, dia perlu melupuskan sut yang digunakannya serta menyahjangkit dirinya sendiri.

Ketika melakukan semua perkara ini, apa yang berada difikiran ialah anak perempuannya berusia lima bulan yang masih menyusu badan.

“Hari ini sahaja dah lebih lima kali mandi sebab saya masih melakukan susu perahan ibu (EBM). Saya ada anak berusia lima bulan dan masih memberi susu badan dekat rumah.

“Saya sangat paranoid dan mandi setiap kali sebelum melakukan EBM selama empat jam. Dapat bayangkan?” tulis Faiqah di Facebooknya.

Sehubungan itu, dia memutuskan untuk memotong rambutnya bagi menjimatkan masa selepas mandi.

“Jadi, sebab kecewa saya kemudian ambil gunting dan potong rambut saya. Kenapa? Sebab tak sempat nak kering (rambut) walaupun ada mesin pengering rambut.

“Mengerikan dan saya kelihatan seperti Ronald McDonald. Tetapi saya ada keyakinan diri untuk menggayakannya,” katanya sambil menambah bahawa suami dan anak-anaknya menyukai gaya rambut barunya itu.

Selain berkongsi pengalamannya itu, Faiqah turut berkongsi gambarnya bersama sut penuh PPE. 

Ekoran tulisannya itu, hantaran berkenaan mendapat ribuan komen dan yang berkongsi tulisannya serta mendapat kira-kira 26,000 tanda suka.

Bimbang terdedah jangkitan

Ketika dihubungi Malaysiakini, Faiqah menjelaskan dia biasanya membuat rawatan berkaitan pemindahan organ tetapi disebabkan virus Covid-19, ia menuntut semua doktor turut serta merawat pesakit yang terkena wabak berkenaan.

Hospital yang dia bekerja ketika ini merupakan hospital yang ditetapkan kerajaan bagi pesakit Covid-19 di Lembah Klang iaitu hospital yang mempunyai 37 peratus kes wabak ini daripada seluruh negara.

Daripada 673 kes di Malaysia, 250 kes direkodkan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Selain itu, Faiqah menceritakan lagi, waktu bekerjanya juga berubah-ubah sama ada pada jam 8 pagi hingga 5 petang atau on-call- iaitu dia mungkin dipanggil ke hospital antara jam 8 pagi dan 10 pagi keesokan harinya.

Di sebalik waktu kerja yang panjang, Faiqah memberitahu dia sebenarnya lebih bimbang dengan pendedahan berpanjangan terhadap virus berkenaan yang mudah berjangkit.

Selain anak perempuannya yang berusia empat bulan, dia juga mempunyai anak lelaki berusia empat tahun.

“Apabila pesakit pertama daripada wad memasuki ICU, saya mula risau dan tidak tentu arah. Saya tidak akan memaafkan diri saya sekiranya saya bawa virus itu kepada anak-anak saya.

“Sebab itulah saya mandi berulang kali. Walaupun selepas saya sampai di rumah, saya akan terus mandi dan berkumur-kumur mulut sebelum saya sentuh anak-anak.

“Anak lelaki saya terlalu kecil untuk faham tentang Covid-19. Dia hanya tahu ibunya perlu lebih banyak on-call kerana ramai orang sakit,” kata Faiqah.

Faiqah merupakan salah seorang daripada 61,158 orang doktor yang menjadi barisan hadapan negara bertempur memerangi Covid-19. 

Selain para doktor, jururawat serta pegawai kesihatan yang lain turut berada di barisan hadapan.

Disebabkan virus ini, dua rakyat Malaysia meninggal dunia pada 16 Mac.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS