Kerajaan Negeri Selangor sedia membantu pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari negeri ini yang menuntut di Sabah dan Sarawak untuk pulang seperti diarahkan Kementerian Pengajian Tinggi.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata arahan kementerian berkenaan adalah supaya semua mahasiswa mengosongkan IPT masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Kerajaan Persekutuan bermula esok sehingga 31 Mac ini.
Beliau juga berkata susulan Perintah Kawalan Pergerakan itu juga, segala urusan kerajaan negeri akan diteruskan secara dalam talian.
"Ia melibatkan semua urusan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat-pejabat rangkaian kerajaan negeri termasuklah pihak berkuasa tempatan," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Kata Amirudin, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut, semua pasar pagi, pasar malam dan pasar karat di Selangor tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh berkenaan kecuali pasar di dalam bangunan.
Katanya, restoran serta kedai makan di negeri ini pula masih boleh beroperasi tetapi hanya dihadkan untuk penghantaran kepada pembeli.
"Justeru, pentadbiran ini sekali lagi mengingatkan rakyat supaya meneruskan amalan kebersihan yang baik bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 dan sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Malaysia akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok sehingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.
Perintah kawalan itu, yang dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, antara lain meliputi larangan menyeluruh pergerakan serta perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
- Bernama