Bekerja dari rumah atau tinggal di tempat yang disediakan oleh majikan adalah antara pilihan diberi oleh syarikat di Singapura kepada warga Malaysia yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja di republik tersebut.
Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara mulai hari ini hingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak Covid-19, kebanyakan pekerja Malaysia yang tinggal di Johor telahpun mendapat pandangan daripada majikan mereka di negara itu.
Perintah itu, antara lain, meliputi sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap semua rakyat Malaysia ke luar negara, selain menghalang kemasukan pelawat dan pelancong asing ke negara ini.
Bagi Ahmad Faeez Mohd Yusoff, yang bekerja di bahagian perkhidmatan tetamu dalam sektor perhotelan, majikannya mencadangkan agar mereka tinggal di Singapura dan akan menyediakan tempat penginapan sepanjang tempoh dua minggu penguatkuasaan perintah tersebut.
Bagaimanapun, bapa kepada lima orang anak itu bimbang untuk meninggalkan keluarga selama tempoh tersebut kerana tidak boleh pulang jika ada kecemasan.
“Saya risau pasal makan pakai mereka, kesihatan...terpaksa pantau dari jauh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Situasi sama dihadapi oleh pekerja dalam sektor perkhidmatan dan pengendalian makanan, Alfikri Johari, 50, dari Pontian, apabila majikannya bersedia menyediakan asrama sementara di Woodlands bagi pekerja Malaysia yang berulang-alik dari Johor ke Singapura setiap hari.
Bagi Mohd Hafiz Abu Hanipah, 35, majikan memberi dua pilihan iaitu bekerja dari rumah dengan iPad disediakan untuk kerja dalam talian atau tinggal di tempat yang disediakan oleh majikan di republik itu.
Beliau yang telah bekerja di sektor perkilangan selama 10 tahun itu, memilih untuk bekerja dari rumah bagi tempoh perintah kawalan pergerakan memandangkan fleksibiliti dan berdekatan dengan keluarga.
Kira-kira 400,000 orang memasuki Singapura menerusi Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah setiap hari, yang mana separuh daripada jumlah itu adalah warganegara Malaysia yang bekerja di republik berkenaan.
- Bernama