Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MEF gesa benarkan majikan beri cuti 5 hari tanpa gaji
Diterbitkan:  Mar 17, 2020 10:37 PM
Dikemaskini: 2:37 PM

Memandangkan kebanyakan perniagaan akan ditutup semasa perintah kawalan pergerakan, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berpendapat majikan tidak akan mampu memberi pekerja dua minggu cuti berbayar.

Bercakap kepada Oriental Daily, pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan mencadangkan majikan dibenarkan memberi kakitangan lima hari cuti tanpa gaji atau cuti tahunan.

Ini, katanya, akan membantu mengurangkan beban kewangan kepada pemilik perniagaan.

"Kami tidak mempunyai sebarang halangan terhadap perintah kawalan pergerakan selama 14 hari oleh kerajaan untuk mencegah virus Covid-19 daripada merebak.

"Bagaimanapun, kerana majikan tidak akan dapat beroperasi seperti biasa atau memperoleh pendapatan biasa mereka, mereka tidak akan dapat membayar sepenuhnya 14 hari cuti bergaji untuk pekerja mereka.

"Perintah 14 hari bermula esok. Untuk mengimbangi kepentingan majikan dan pekerja, kami mencadangkan bahawa pekerja diberi sekurang-kurangnya lima hari cuti.

"Jika pekerja tidak mempunyai cuti yang cukup, maka bolehkan mereka mengambil sekurang-kurangnya lima hari cuti tanpa gaji. Majikan kemudian boleh menampung sembilan hari cuti berbayar.

"Ini akan membolehkan pekerja untuk bekerja dari rumah dan majikan menjaga perniagaan mereka untuk terus bertahan," beliau dipetik sebagai berkata.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM20 bilion telah dilaksanakan sebelum kerajaan mengeluarkan perintah itu.

Perintah terkini itu tidak disertakan dengan rancangan untuk memulihkan semula ekonomi, katanya kepada akhbar berbahasa Cina tersebut.

Diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi, perintah itu menetapkan bahawa semua perniagaan dan perkhidmatan yang tidak penting perlu ditutup dari tengah malam ini (18 Mac) hingga 31 Mac.

Perkhidmatan penting sahaja - seperti pasar raya, kedai runcit, kedai serbaneka dan perkhidmatan penting seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi dan perkhidmatan pos dibuka.

Muhyiddin juga mengumumkan bahawa pekerja yang berpendapatan RM4,000 atau kurang sebulan yang mengambil cuti tidak berbayar layak mendapat bantuan kewangan RM600 setiap bulan, untuk maksimum selama enam bulan.

Perkara itu akan dilaksanakan melalui Skim Insurans Kerja (EIS).

Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk membendung wabak Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS