Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KSN mohon maaf kepada 5 ketua negeri pembangkang
Diterbitkan:  Mar 17, 2020 9:12 PM
Dikemaskini: 1:18 PM

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali memohon maaf terhadap beberapa ketua negeri yang tidak dijemput ke mesyuarat khas bagi menyelaraskan perintah kawalan pergerakan antara negeri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, bagi negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah hanya pengarah pembangunan negeri yang dijemput hadir.

“Sehubungan itu, saya bagi pihak urusetia mesyuarat ingin memohon maaf atas kekhilafan yang timbul berkaitan dengan jemputan yang hanya dikeluarkan kepada semua menteri besar dan ketua menteri kerajaan negeri dari parti komponen kerajaan persekutuan.

“Bagi negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah, hanya pengarah pembangunan negeri yang dijemput hadir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pakatan Harapan (PH) meluahkan rasa kesal apabila jemputan untuk mesyuarat tersebut tidak dipanjangkan kepada menteri besar dan ketua menteri di negeri terbabit.

Pada awalnya, ia mendapat perhatian Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang meluahkan rasa duka cita kerana tidak dijemput, sedangkan katanya, Selangor merupakan negeri paling terkesan dengan wabak Covid-19.

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir turut membalas tweet Amirudin: “Kedah pun tak diajak. Agaknya tak ada Covid-19 di Kedah.

Sementara itu, KSN menegaskan bahawa perdana menteri telah menyatakan pendirian jelas untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri tanpa mengambil kira latar belakang politik.

“Sekali lagi ditegaskan, bahawa perdana menteri memandang serius tentang perkara ini dan menyatakan pendirian jelas beliau untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri tanpa mengambil kira apa jua latar belakang parti politik khususnya berkaitan perkara yang menjadi kepentingan utama negara seperti wabak Covid-19.

“Dimaklumkan perdana menteri telah mengeluarkan arahan supaya semua menteri besar dan ketua menteri dijemput hadir mesyuarat khas bagi menangani penularan Covid-19 pada masa akan datang,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS