Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH Johor cadang beri 2 hari tambahan buat warga Johor kerja di Singapura
Diterbitkan:  Mar 17, 2020 8:39 PM
Dikemaskini: 12:39 PM

Pakatan Harapan (PH) Johor mencadangkan agar kerajaan memberi kelonggaran perintah kawalan pergerakan kepada rakyat negeri Johor yang bekerja di Singapura.

Dalam satu kenyataan hari ini, PH Johor menjelaskan kelonggaran perjalanan selama dua hari tambahan harus diberikan supaya rakyat dapat membuat persediaan yang sewajarnya.

“Dicadangkan kelonggaran diberikan untuk mereka meneruskan perjalanan selama dua hari tambahan.

“Lanjutan tempoh ini diharapkan dapat membolehkan majikan dan pekerja mengatur dan membuat persediaan yang sewajarnya,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengesahkan warga Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja, tidak lagi boleh berbuat demikian mulai esok hingga 31 Mac.

Dalam pengumuman semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyenaraikan langkah-langkah untuk mengehadkan pergerakan awam bagi menangani Covid-19.

Antara lain, rakyat Malaysia dilarang ke luar negara manakala mereka yang pulang dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela.

Sementara itu, PH Johor juga berharap agar bantuan kebajikan disalurkan kepada warga negeri itu yang terkesan susulan pelaksanan perintah tersebut.

“PH Johor juga berharap agar bantuan kebajikan lain dapat diberikan kepada warga Johor yang keluar masuk untuk berkerja di Singapura yang terpaksa berhadapan pelbagai risiko ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Pendekatan yang holistik perlu digariskan supaya semua pihak dapat membuat persediaan bagi menghadapi impak ekonomi wabak Covid-19,” kata kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS