Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tangguh semua perbicaraan
Diterbitkan:  Mar 17, 2020 3:31 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Semua perbicaraan mahkamah di seluruh negara bermula esok hingga 31 Mac akan ditangguhkan sejajar dengan perintah pergerakan terhad kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19 di Malaysia.

Walau bagaimanapun, permohonan reman bagi kes jenayah di mahkamah majistret masih boleh dilakukan semasa tempoh pergerakan terhad selama dua minggu di seluruh negara.

Arahan itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh kepada semua pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Rendah Malaya dan Mahkamah Rendah Sabah dan Sarawak melalui e-mel petang ini.

Menurut e-mel itu, keputusan berkenaan dibuat setelah perbincangan dengan ketua hakim negara selaras dengan pengumuman larangan pergerakan malam tadi oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Semua perbicaraan / pendengaran kes sivil dan jenayah sepanjang tempoh 18 Mac hingga 31 Mac adalah ditangguhkan dan penetapan tarikh perbicaraan / pendengaran yang baru akan dimaklumkan kemudian,” kata e-mel tersebut.

Dokumen dalam talian itu turut menyatakan bahawa pengurusan kes jenayah di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan adalah ditangguhkan dan penetapan tarikh baru akan dimaklumkan kemudian.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi mahkamah yang menggunakan sistem eKehakiman, pemfailan kes-kes sivil baru / notis rayuan dan dokumen-dokumen akan berjalan seperti biasa melalui sistem eFiling.

Namun, bagi mahkamah yang tidak mempunyai sistem eKehakiman, pemfailan kes-kes sivil baru dan dokumen-dokumen akan hanya diterima mulai 1 April 2020.

“Pengurusan kes sivil secara eReview akan terus dijalankan seperti biasa secara dalam talian (online) manakala pengurusan kes sivil secara manual akan ditangguhkan dan akan diberikan tarikh yang baharu,” katanya.

Ia juga menyebut bahawa permohonan untuk reman pengurusan kes bagi kes-kes jenayah di mahkamah rendah ke atas suspek di bawah seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah dan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 akan disambung semula seperti biasa selepas tempoh larangan itu.

E-mel juga menyebut bahawa jika terdapat keperluan untuk pendaftaran kes baru, pegawai penyiasat hendaklah memaklumkan lebih awal kepada hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret yang bertugas bagi tujuan persediaan oleh mahkamah.

Adalah difahamkan bahawa e-mel berkenaan telah dihantar ke semua pendaftar mahkamah di seluruh negara hari ini.

Sehubungan itu kes perbicaraan 1MDB membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah yang dijadualkan pada Khamis dan Jumaat ini akan dikosongkan. Begitu juga tarikh-tarikh lain yang telah ditetapkan buat bulan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS