Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penangguhan aktiviti di masjid, surau Selangor dilanjut ke 17 April
Diterbitkan:  Mar 17, 2020 3:01 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan agar semua aktiviti di masjid, surau dan musolla di negeri itu ditangguhkan sehingga 17 April depan.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani, berkata baginda menzahirkan kembimbangan terhadap kesejahteraan kira-kira 6.5 juta rakyat negeri itu ekoran ancaman penularan wabak Covid-19.

Bagi mengurangkan impak dan penularan wabak berkenaan, katanya, baginda mahu beberapa langkah dikuatkuasakan mulai esok.

Antaranya, kata Mohamad Munir, solat Jumaat ditangguhkan sehingga 17 April.

"Bagaimanapun solat Jumaat wajib digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

"Bagi solat secara berjemaah, aktiviti-aktiviti ceramah dan kuliah agama di semua masjid, surau dan musolla hendaklah ditangguhkan sehingga 17 April.

"Namun demikian, jika wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal maka satu arahan baru akan dikeluarkan," katanya.

Beliau juga menegaskan di sebalik arahan tersebut, laungan azan tetap perlu dibuat seperti biasa bagi menandakan dan memaklumkan masuknya waktu solat wajib.

Doa untuk diri sendiri, keluarga

Ketetapan itu, kata Mohamad Munir, selaras dengan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam tadi.

Terdahulu Muhyiddin mengumumkan perintah kawalan pergerakan mula dilaksanakan tengah malam ini bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Perintah kawalan pergerakan itu akan berkuatkuasa selama 14 hari sebagai langkah kerajaan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Ia menjadi sejarah buat negara apabila perintah kawalan pergerakan adalah buat pertama kali berlaku.

Sejumlah 125 kes baru Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak itu meningkat kepada 553 di Malaysia.

Dalam pada itu Sultan Selangor turut menasihatkan rakyat negeri itu supaya tidak menghadiri ataupun berkumpul di tempat awam khususnya membabitkan mereka mempunyai simptom Covid-19.

Baginda turut menyeru umat Islam di negeri itu mendoakan kesejahteraan diri masing-masing, keluarga dan negeri selepas mengerjakan solat fardu.

"Baginda juga mahu rakyat negeri Selangor mematuhi arahan-arahan di bawah perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Persekutuan demi mencegah penularan dan memulihkan keadaan dengan segera," kata kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS