Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk di sempadan Thailand digesa akur perintah kawalan pergerakan

Kerajaan Kelantan menasihati penduduk di kawasan sempadan dengan Thailand untuk mematuhi perintah kawalan pergerakan yang berkuatkuasa esok.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah berkata demikian ketika ditanya berkenaan penduduk di kawasan berhampiran Sungai Golok - sungai yang memisahkan Kelantan dengan Narathiwat - yang biasa menyeberangi sempadan untuk ke Thailand.

Mohd Amar berkata, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Arahan dikeluarkan untuk menjamin keselamatan semua orang. Kerajaan mengeluarkan arahan namun yang melaksana adalah orang ramai.

"Jadi, jangan pandang ringan arahan yang dikeluarkan kerana ini membabitkan nyawa. Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, mungkin wabak ini dapat diatasi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bermula esok (18 Mac) hingga 31 Mac ini, meliputi seluruh negara.

Beliau berkata, perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.


BacaPM: Premis k'jaan, swasta tutup kecuali perkhidmatan penting


Sementara itu, Mohd Amar memaklumkan semua pejabat kerajaan negeri ditutup mulai esok hingga 31 Mac.

Ditanya mengenai pembelian panik di Kelantan sebagaimana tular di media sosial, beliau menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan sudah memberi jaminan bekalan makanan mencukupi.

"Janganlah kita membeli barang untuk disimpan sampai setahun kerana keadaan kita belum sampai kepada tahap itu.

"Pembelian panik yang menyebabkan orang ramai berkumpul di pasar raya juga boleh mengundang bahaya yang menyebabkan tersebar virus," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS