Pemilik rangkaian pasar raya Mydin menggesa orang ramai untuk kekal bertenang ketika gelombang pembelian panik berlaku di negara sejak semalam.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Ameer Ali Mydin, berkata tidak ada keperluan untuk orang ramai berasa panik kerana bekalan barang keperluan yang diperlukan adalah mencukupi.
"Jangan mulakan pembelian panik. Pengeluar kami memberi jaminan yang barangan keperluan masih mencukupi.
"Mari kita jadi bertimbang rasa antara satu sama lain.
“Kita semua harus bersatu dan kita akan menjadi lebih kuat hanya jika kita bersatu sebagai rakyat Malaysia.
"Kita boleh melakukannya dengan semangat Malaysia Boleh, kekal bertenang dan berharap,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Ameer Ali turut memuat naik gambar salah satu cawangan pasar raya Mydin yang kelihatan dipenuhi pelanggan sejak pagi.
Semalam, gelombang pembelian panik bermula dengan kebimbangan bahawa kerajaan akan mengeluarkan perintah berkurung untuk membasmi penularan wabak Covid-19.
Bagaimanapun, melalui pengumuman dibuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam tadi, kedai-kedai runcit akan kekal dibuka dan tidak akan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang akan berkuat kuasa mulai esok.
Pakar-pakar kesihatan turut memberi amaran mengenai pembelian panik kerana ia boleh membawa kepada risiko jangkitan wabak Covid-19
Sementara itu, Ameer Ali berkata warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) boleh mula memasuki pasar raya tersebut setengah jam lebih awal, iaitu 7.30 pagi bermula esok.
“Ini adalah eksklusif hanya untuk warga emas dan orang kelainan upaya.
“Mereka adalah golongan yang paling terkesan pada masa sukar ini. Jadi, mari berikan mereka masa dan ruang untuk membeli keperluan.
"Kami juga membuka laluan pembayaran khas untuk mereka,” tambahnya lagi.
Selain Mydin, pasar raya Jaya Grocer juga turut mengumumkan akan dibuka pada jam 9.30 pagi untuk warga emas dan OKU supaya mereka boleh membeli barangan dalam persekitaran yang selamat dan tanpa bimbang.
Dalam perkembangan sama, perkhidmatan penghantaran makanan Grab juga akan beroperasi seperti biasa
Syarikat itu mengumumkan mereka akan meneruskan perkhidmatan seperti biasa.
"Kami memberikan jaminan semua perkhidmatan kami, GrabFood, GrabMart, Transport and GrabExpress akan meneruskan perkhidmatan seperti biasa,” katanya melalui satu hantaran di Facebook hari ini.
Satu lagi perkhidmatan penghantaran makanan, Foodpanda belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Cara pengoperasian restoran-restoran masih lagi tidak jelas walaupun pengumuman telah dibuat oleh perdana menteri semalam.
Namun, restoran seperti MyBurgerLab berkata ia akan meneruskan operasi dengan hanya menawarkan perkhidmatan penghantaran atau bawa pulang sekiranya dibenarkan.