Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN lantik Annuar Musa sebagai setiausaha agung

Barisan Nasional (BN) hari ini (semalam) mengumumkan rombakan struktur kepimpinan, dengan melantik Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung BN menggantikan penyandang Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu kenyataan, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini yang antara lain turut mengekalkan Tengku Adnan sebagai Bendahari BN.

“Mohamad Sahfri Ab Aziz pula akan menggantikan Senator Dr Ahmad Masrizal Muhammad sebagai Setiausaha Eksekutif BN,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata BN juga amat mengambil berat keadaan negara dan rakyat yang dilihat semakin terkesan akibat Covid-19 yang semakin menular.

Justeru beliau menasihati orang ramai agar sentiasa peka dan mengikuti perkembangan Covid-19 melalui pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan tidak mudah mempercayai berita palsu yang kerap ditularkan di laman media sosial.

“Paling penting, BN mengharapkan rakyat tidak panik dengan wabak ini tetapi perlu mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS