Langkah kawalan pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi menangani Covid-19 bukan perintah berkurung tetapi satu bentuk menjarakkan hubungan sosial yang bertujuan bertujuan menurunkan jumlah kes dengan 'merendahkan lengkung (jangkitan) wabak'.
"Ini bukan perintah berkurung. Apabila perintah berkurung kamu tidak boleh keluar rumah, kamu tidak boleh keluar untuk membeli makanan," katanya.
Dr Dzulkefly berkata demikian kepada Malaysiakini sebagai maklum balas segera terhadap pengumuman perdana menteri malam ini.
"Ungkapan yang paling baik adalah elak aktiviti sosial. Benar ia gangguan tetapi matlamat akhirnya untuk merendahkan lengkung epidemik," katanya.
Istilah merendahkan lengkung epidemik merujuk kepada tindakan mengurangkan dan memperlahan penularan sesuatu wabak.
Muhyiddin juga mengumumkan mulai hari Rabu 18 Mac sehingga 31 Mac, kerajaan akan membataskan pergerakan awam dalam usaha membendung penyebaran Covid-19. Ini termasuk penutupan sekolah, IPT dan premis swasta.
Walau bagaimanapun, perkhidmatan-perkhidmatan penting serta pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka akan tetap dibuka kepada orang ramai.
Muhyiddin dalam ucapannya, berkata banyak negara telah mengambil langkah drastik membendung Covid-19, seperti China yang menunjukkan penurunan dalam penyebaran virus itu.
Walau bagaimanapun, Dzulkefly berkata malangnya perintah kawalan pergerakan ini dibuat tanpa mendapat nasihat yang wajar, memandangkan langkah-langkah yang diambil itu tidak sebagaimana perintah berkurung di China atau Itali.
"Jadi, sebagai pengerusi pasukan petugas khas Covid-19 di Selangor, saya setuju atas semua usaha ini. Ia selaras dengan usaha mengelakkan aktiviti sosial," katanya.
Terdahulu hari ini, Dzulkefly mencadangkan langkah ketat mengelakkan aktiviti sosial, termasuk menggesa orang ramai supaya tidak keluar rumah dengan pengecualian kerja-kerja perkhidmatan penting atau perjalanan ke pusat perubatan.