Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pihak berkuasa nafi Pasar Borong Selayang diarah tutup

Pihak berkuasa menafikan khabar angin bahawa Pasar Borong Selayang diarahkan tutup berikutan wabak Covid-19.

"Tidak ada arahan untuk pasar borong itu ditutup. Itu adalah berita palsu," kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham A Dahlan kepada Malaysiakini dalam kiriman mesej hari ini.

Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng juga berkata, khabar angin itu tidak benar.

"Saya tahu tentang perkara ini kerana saya telah bercakap dengan persatuan pemborong," katanya.

Repons itu diberikan susulan rakaman suara yang tersebar di media sosial, yang menggesa orang ramai membeli makanan dengan mengatakan pasar itu akan ditutup selama dua minggu bermula esok.

Sementara itu, notis yang disiarkan Persatuan Pemborong Sayur-Sayuran Kuala Lumpur meminta ahlinya mengambil langkah berjaga-jaga dan menghantar pekerja mereka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Persatuan ini diberitahu bahawa lebih daripada 200 orang Islam dari kawasan sekitar pasar telah menghadiri perhimpunan Tabligh.

"Oleh itu, kami harap pekerja yang menyertai perhimpunan itu menjalani ujian saringan Covid-19 atau kuarantin diri mereka," kata notis itu yang dilihat Malaysiakini.

Kes peningkatan Covid-19 baru-baru ini dikaitkan dengan peserta perhimpunan Tabligh di Sri Petaling, yang berlangsung dari 27 Feb hingga 1 Mac.

Satu sumber yang rapat dengan persatuan itu mengesahkan bahawa notis itu tulen, tetapi berkata tiada sesiapa yang telah diuji positif setakat ini.

Beliau berkata terdapat spekulasi bahawa beberapa pekerja di pasar borong itu mungkin menghadiri program ijtima berkenaan.

"Kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga tambahan. Ia lebih baik jika kerajaan membawa sepasukan pegawai kesihatan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan," tambah sumber itu.

"Saya dapati hanya 10 peratus daripada pemborong dan pekerja memakai topeng (muka)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS