Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin, Hilman sertai Umno di bangku pembangkang S'gor

DUN S'GOR | Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dan Adun Gombak Setia, Hilman Idham berpindah ke bangku pembangkang ketika pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Mereka menyertai Adun Bersatu lain di bahagian kerusi pembangkang. Bersatu digugurkan daripada kerajaan negeri pimpinan PH itu selepas keluar gabungan tersebut.

Ini susulan Bersatu membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan bersama MP PKR yang berpaling tadah, anggota parlimen BN, PAS, GPS dan parti kecil yang lain.

"Saya anggap mereka sebagai pembangkang tetapi sama ada mereka (Adun) bebas atau dengan Bersatu - Saya masih belum menerima surat rasmi daripada mereka.

"Satu-satunya surat yang saya terima daripada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution yang mengesahkan bahawa dua Adun - Bukit Antarabangsa dan Gombak Setia telah dipecat daripada parti dan oleh demikian bukan lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan," kata Speaker DUN Ng Suee Lim (gambar, bawah).

Azmin yang juga MP Gombak kini dilantik menjadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.

Ketika ditanya media hari ini, Hilman mengesahkan dirinya telah menyertai Bersatu.

"Saya tidak keluar PKR. Saya dipecat... (Saya pun menyertai) Bersatu," jawabnya ringkas.

Empat Adun Bersatu terus sokong PH

Sementara itu, empat Adun Bersatu, Harumaini Omar (Batang Kali), Mohd Shaid Rosli (Jeram), Sallehudin Amiruddin (Jeram) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil) berkata mereka akan terus menyokong kerajaan Selangor yang diketuai oleh PH walaupun telah digugurkan daripada gabungan itu.

Bagaimanapun, Ng berkata mereka masih dianggap sebagai wakil rakyat pembangkang.

"Kecuali jika mereka mencapai persetujuan dengan kepimpinan PH Selangor mengenai status mereka, baru saya boleh membuat keputusan.

"Jika tidak, maka mereka akan dianggap sebahagian daripada blok pembangkang," katanya.

Susulan daripada gerakan yang dinamakan Langkah Sheraton, bekas timbalan presiden PKR Azmin bersama 10 anggota parlimen lain keluar parti dan menyertai Bersatu.

PN terbentuk selepas kem Bersatu pimpinan Muhyiddin bertindak keluar PH sehingga mengakibatkan keruntuhan kerajaan pusat.

Situasi itu membawa kepada krisis politik yang menyaksikan Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan selaku perdana menteri ketujuh.

Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dan membentuk PN dengan sokongan Umno, PAS, GPS.

Setakat ini, PN berjaya merampas Johor, Melaka dan Perak apabila majoriti Adun menukar sokongan mereka. 

[Baca berita asal]

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS