Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Semua aktiviti masjid di wilayah persekutuan ditangguhkan
Diterbitkan:  Mar 16, 2020 5:57 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad mengumumkan bahawa semua aktiviti di masjid di wilayah persekutuan termasuk solat Jumaat bakal ditangguhkan bermula 17 hingga 26 Mac ini.

Untuk rekod, wilayah persekutuan meliputi kawasan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Jelasnya, perkara itu dinyatakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas pada 15 Mac lalu.

“Semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan bermula 17 hingga 26 Mac 2020.

“Jawatankuasa masjid dan surau disarankan untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan mengelakkan jangkitan.

"Tempoh 10 hari berkenaan adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu hadir selepas jumlah kes Covid-19 meningkat mendadak.

Selepas peningkatan 190 kes semalam, Malaysia hari ini mencatatkan 125 lagi kes baru, sekali gus menjadikan jumlah kes keseluruhan 553 kes.

Peningkatan kes itu berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur beberapa hari yang lalu.

Sementara itu, Dr Zulkifili hari ini turut menjelaskan bahawa sekiranya berlaku kematian akibat wabak berkenaan, pengurusan jenazah harus dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (MKI) berkenaan hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) di Malaysia.

“Kelonggaran diberikan sekiranya ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah.

“Jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut," katanya menambah bahawa dalam situasi itu terserah kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri bagi urusan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS