Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mesej palsu perintah berkurung dikaitkan dengan laporan Malaysiakini
Diterbitkan:  Mar 16, 2020 4:58 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Pembaca Malaysiakini diingatkan agar berhati-hati dan tidak terkeliru dengan mesej palsu berhubung perintah berkurung yang dikaitkan dengan salah satu laporan mengenai Covid-19.

Laporan bertajuk 'Covid-19: Kita dalam fasa pembendungan akhir - Menteri Kesihatan' disiarkan semalam, namun tidak menyebut apa-apa tentang perintah berkurung.

Bagaimanapun, pautan laporan itu disebarkan pihak tertentu dengan ditambah keterangan yang menggesa rakyat membeli barang keperluan asas kerana "perintah berkurung akan diadakan".

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memaklumkan berhubung penyebaran mesej palsu itu dalam satu kenyataan di Twitter.

"Menurut pihak Malaysiakini, walaupun pautan berita itu betul, namun gesaan rakyat membeli barang keperluan asas dan ''perintah berkurung' adalah palsu," kata KKM dengan menanda Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba semalam berkata Malaysia telah memasuki tahap pembendungan akhir Covid-19.

"Kita ada fasa onset, kita ada fasa containment (pembendungan), late containment (pembendungan akhir) dan terakhir fasa mitigation.

"Jadi kita sekarang ini dah masuk late containment kerana kes kita dapat terbaru sebanyak 428 kes kini kita dah masuk late containment dan ini kita perlu buat satu tindakan drastik," katanya pada sidang akhbar yang disiarkan di Facebook.

Penularan Covid-19 bertambah buruk susulan perhimpunan tabligh di sebuah masjid di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Seramai 16,000 orang menghadiri perhimpunan empat hari bermula 27 Feb hingga 1 Mac itu.

Dianggarkan 14,500 orang dalam perhimpunan itu adalah rakyat Malaysia sementara 1,500 adalah warga asing.

Semalam, Malaysia mencatat 190 kes baru Covid-19, peningkatan tertinggi dalam sehari yang direkodkan sejak penularan wabak itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS