Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita MCA gesa k'jaan PN haramkan perkahwinan bawah umur
Diterbitkan:  Mar 16, 2020 3:44 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Wanita MCA menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengharamkan perkahwinan bawah umur bagi melindungi kebajikan dan hak asasi kanak-kanak.

“Wanita MCA berharap kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) akan pinda undang-undang dan mengambil langkah proaktif meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kesan buruk kepada fizikal, mental serta pendidikan dan ekonomi kanak-kanak terhadap perkahwinan bawah umur,” kata pengerusinya Heng Seai Kie dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Heng, perkahwinan bawah umur akan mendedahkan mereka kepada mangsa keganasan rumah tangga, penderaan seksual dan kemiskinan.

"Oleh kerana Malaysia antara negara yang menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), keputusan yang dibuat berkenaan isu kanak-kanak haruslah berdasarkan kebajikan dan kepentingan penting mereka.

Heng turut merujuk beberapa peruntukan yang menyebut suatu jenayah dalam perkahwinan bawah umur antaranya Seksyen 611 Akta Kanak-kanak 2001, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) dan Kanun Keseksaan.

"Oleh itu, kerajaan harus melarang perkahwinan kanak-kanak tanpa mengira kaum atau agama.

"Malah, semua keputusan mesti dibuat merujuk undang-undang dan status Malaysia sebagai negara yang mengiktiraf CRC,” katanya.

Jumaat lalu, timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat (KPWKM) baru Siti Zailah Mohd Yusoff berkata bahawa dasar yang tidak bertentangan dengan Islam akan terus dijalankan di bawah pentadbiran baru.

Bekas penyandangnya, Hannah Yeoh menyuarakan kebimbangan terhadap perjuangan memerangi perkahwinan bawah umur susulan perlantikan ahli parlimen PAS itu sebagai timbalan menteri.

Bercakap secara khusus mengenai perkahwinan kanak-kanak, Siti Zailah berkata perkara itu perlu dikaji semula kerana banyak faktor antaranya kemiskinan, isu sosial dan adat resam".

Sementara itu, Heng memetik kenyataan Sisters in Islam yang menunjukkan data negara majoriti Muslim yang telah menaikkan usia minimum perkahwinan.

"Melihat kepada Indonesia, negara Islam yang paling ramai di dunia, telah mengundi untuk menaikkan usia perkahwinan hingga 19 tahun, mengapa Malaysia tidak boleh meminda undang-undang hingga 18 tahun?

"Dalam merangka atau membuat perubahan kepada dasar dan undang-undang, adalah penting untuk meluaskan pemikiran rakyat sambil mempertahankan semangat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dalam melindungi hak dan kebajikan rakyat,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS