Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid tarik balik kenyataan anggap Hadi 'tak center'
Diterbitkan:  Mar 16, 2020 1:53 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, hari ini menarik balik kenyataannya mengenai Abdul Hadi Awang dan memohon maaf kepada presiden PAS itu.

Khalid berkata, beliau membuat keputusan tersebut selepas mendapat nasihat daripada Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang.

"Saya dengan ini menarik balik kenyataan yang mengatakan presiden PAS sudah tidak center dan meminta maaf.

"Saya tidak berniat untuk membuat serangan peribadi kepada beliau, tetapi pada masa sama saya tetap mempertahankan hujah saya (bahawa) PAS bukan model politik Islam.

"Bagi saya Ustaz Hadi telah mengkhianati perjuangan sebenar PAS yang ingin dihayati sebagai perjuangan Islam yang bebas perkauman dan bebas penyelewengan apabila beliau sedia bekerjasama dengan Umno dan menyertai kerajaan Perikatan Nasional," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang turut disiarkan secara langsung di Facebook Malaysia Dateline.

Pada 10 Mac lalu, dalam satu temu bual, Khalid menyifatkan Abdul Hadi sebagai "tidak center" ketika menjawab soalan berhubung kenyataan anggota parlimen Marang mengenai PAS sebagai model politik Islam yang boleh dicontohi kerajaan Pakatan Nasional.

Ekoran kenyataan berkenaan, Khalid didatangi sekumpulan individu yang berkelakuan kasar ketika berada di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Kejadian itu mendorong ahli parlimen Shah Alam itu membuat satu laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Selain itu, pada sidang media sama Khalid turut memuji tindakan Penasihat Amanah yang memainkan perananannya sebagai seorang ulama dan pemimpin dengan memberi teguran kepada dirinya berbanding cuba menegakkan benang yang basah.

"Terima kasih Ustaz Ahmad kerana memainkan peranan sebagai seorang ulama dan pemimpin. Beliau menegur dan nasihat apabila kata-kata saya terlanjur.

"Inilah peranan penting ulama, memimpin dan menasihat. Bukan mengapi-apikan dan cuba cari dalil untuk tegakkan benang yang basah," ujarnya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS