Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 kes baru di Kemboja ada kaitan program tabligh di Seri Petaling
Diterbitkan:  Mar 16, 2020 12:23 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Kemboja mengumumkan dua kes jangkitan Covid-19 yang dikaitkan dengan program tabligh di masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur awal bulan ini.

Kedua-dua kes itu adalah sebahagian daripada empat kes baru yang dikesan oleh negara berkenaan, menjadikan jumlah kes di Kemboja kini 12.

Menurut agensi berita Xinhua, dua pesakit itu sudah pulang ke barat laut wilayah Preah Vihear, Kemboja dari Kuala Lumpur pada 3 Mac.

Kenyataan dari Kementerian Kesihatan Kemboja berkata, kedua-duanya telah diasingkan untuk rawatan.

Menurut sumber yang bercakap kepada Malaysiakini, kira-kira 79 warganegara Kemboja menyertai program tabligh berkenaan.

Baki dua kes baru selebihnya, ia melibatkan warganegara Kemboja yang pulang dari Perancis dan seorang bayi warganegara Perancis berusia empat bulan yang ayahnya sebelum ini diuji positif selepas kembali dari Perancis.

Sementara itu, pihak berkuasa di Malaysia sedang mencari 14,500 rakyat Malaysia yang dipercayai menghadiri program tabligh di Seri Petaling, yang dikaitkan dengan peningkatan kes mendadak dalam negara.

Malaysia mempunyai bilangan kes tertinggi di Asia Tenggara dan keempat tertinggi di Asia selepas China, Korea Selatan dan Jepun.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, perkembangan terbaru wabak itu di negara ini menyaksikan Malaysia berada di tahap pembendungan akhir yang membenarkan tindakan drastik seperti penggunaan undang-undang untuk memaksa orang ramai menjalani pemeriksaan.

Semalam, Malaysia mencatatkan 190 kes baru, menjadikan jumlah kes yang direkodkan sebanyak 428, di mana 42 telah pulih dan telah dilepaskan dari hospital.

Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk membincangkan langkah-langkah selanjutnya yang diperlukan untuk membendung jangkitan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS