Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Black Monday' buat Bursa Malaysia susulan tekanan jualan
Diterbitkan:  Mar 16, 2020 11:40 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Bursa Malaysia dibuka rendah dalam sesi dagangan awal pagi ini apabila tekanan jualan daripada sesi Jumaat minggu lepas berterusan dengan FBM KLCI turun sebanyak 3.34 peratus.

Pada 9.10 pagi hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 44.99 mata kepada 1,299.76 berbanding paras penutup 1,344.75 pada Jumaat selepas dibuka rendah susut 25.38 mata kepada 1,319.37 pagi ini.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 539 berbanding 57, dengan 105 kaunter tidak berubah, 1,320 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 310.65 juta saham bernilai RM167.08 juta.

Tekanan jualan meningkat dalam pasaran tempatan di tengah-tengah ketidak pastian berikutan wabak Covid-19 yang menyebab larangan perjalanan dan kemungkinan kemelesetan ditambah dengan harga minyak rendah.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan berkata ekuiti Asia mencatatkan jualan paling buruknya sejak krisis kewangan global pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun, ia berkata, Wall Street kembali tenang dengan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengumumkan langkah menurunkan kadar faedah kepada hampir sifar dan melancarkan suntikan kecairan berjumlah US$700 bilion yang mungkin menarik aktiviti belian saham berharga murah sekali lagi.

“Petunjuk teknikal juga membayangkan kedudukan lebihan jualan mungkin akan pulih, sekurang-kurangnya bagi permulaan minggu ini dan ini juga akan membolehkan indeks utama mengenepikan kelemahan pasaran pada Jumaat.

“Susulan penurunan mendadak yang menyaksikan FBM KLCI susut hampir kepada 140 mata minggu lepas, kami menjangkakan lantunan semula bagi para pelabur untuk menampung semula kerugian mereka baru-baru ini,” kata firma pembrokeran itu.

Buat masa sekarang, ia berkata paras 1,360-1,370 akan menjadi paras ketahanan segera bagi FBM KLCI, manakala paras sokongan berada pada 1,320 dan 1,300.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 22 sen kepada RM7.66, Tenaga susut 36 sen kepada RM11.46, Public Bank jatuh 44 sen kepada RM14.86 dan IHH berkurangan dua sen kepada RM5.36.

Dalam kalangan kaunter cergas, Vortex tidak berubah pada tiga sen, Sapura Energy turun setengah sen kepada 10 sen dan JAKS Resources jatuh 5.5 sen kepada 77.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 332.74 mata kepada 8,993.86, Indeks FBM Emas Shariah turun 340.11 mata kepada 9,644.88 dan FBM 70 jatuh 463.93 mata kepada 10,546.30.

Indeks FBMT 100 berkurangan 326.16 mata kepada 8,892.21 manakala FBM Ace turun 161.19 mata kepada 4,130.80.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 4.48 mata kepada 106.19, Indeks Perladangan jatuh 170.28 mata kepada 5,677.23 dan Indeks Perkhidmatan kewangan berkurangan 431.33 mata kepada 12,391.01.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS