Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Semua kuliah di USM dijalankan dalam talian
Diterbitkan:  Mar 15, 2020 4:07 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Universiti Sains Malaysia hanya akan menjalankan kuliah dalam talian bermula hari ini dan seterusnya untuk mengurangkan penyebaran virus Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, naib canselor Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata semua pelajar akan dimaklumkan mengenai butiran-butiran oleh dekan masing-masing tidak lama lagi.

"Perubahan ini pastinya akan menimbulkan banyak persoalan kepada tenaga pengajar dan pelajar.

"Dekan Pusat Pengajian masing-masing akan berhubung terus dengan semua pensyarah dan pelajarnya agar perubahan ini dapat dilakukan dengan lancar.

"Proses migrasi ini dijangka akan dimaklumkan tidak lama lagi," katanya.

Semua seminar, bengkel, perhimpunan dan lawatan perlu ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan.

Pelajar dan kakitangan USM juga dilarang pergi ke luar negara bagi urusan rasmi.

"Sekiranya terdapat pertemuan melibatkan lebih 25 orang yang tidak dapat kita elakkan sama sekali, penglibatan Pusat Sejahtera adalah penting untuk tujuan saringan suhu badan dan langkah pencegahan dapat dilakukan," katanya.

Sementara itu, Faisal Rafiq berkata RM350,000 telah diperuntukkan untuk menangani keadaan itu.

Beliau berkata universiti itu telah membeli cecair penyahkuman yang cukup untuk kuliah yang akan berlangsung sehingga akhir April.

Topeng muka pula akan diedarkan kepada kakitangan barisan hadapan sahaja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS