Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tuduhan anak ditangkap, Lim ambil tindakan undang-undang
Diterbitkan:  Mar 15, 2020 3:17 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak berkaitan penyebaran dakwaan anaknya ditangkap di Singapura.

Lim berkata, pihaknya berasa marah dengan tuduhan yang disifatkannya sebagai tidak bermaruah, yang menjadikan anaknya sebagai sasaran.

"Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan terhadap seorang pemimpin Pemuda Umno dan juga beberapa penyokong BN, Umno dan PAS, yang telah menyebarkan berita palsu berkaitan saya dan anak saya.

"Seorang pemimpin Pemuda Umno yang menggunakan nama 'Papa Azri' mula menyebarkan penipuan ini...Berita ini kemudian tersebar luas," katanya dalam kenyataan.

Ia berkenaan laporan akhbar bahasa Cina, Nanyang Siang Pau, berkenaan anak seorang "pemimpin kanan Pakatan Harapan" ditahan setelah cuba membawa masuk RM2 juta ke Singapura.

Laporan itu kemudian dipetik blog kontroversi, Malaysia Today yang kemudian mendakwa individu yang ditahan itu ialah anak Lim.

Dakwaan itu dinafikan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador semalam.

Nanyang Siang Pau hari ini memohon maaf kepada pihak yang dikaitkan dan para pembacanya atas penerbitan laporan tersebut.

"Selepas semakan, laporan itu berdasarkan maklumat tidak tepat. Artikel itu tidak menamakan individu atau parti politik. Perkara itu dibahaskan di atas talian dan ada orang yang menjadi sasaran," kata akhbar itu.

Dalam pada itu, Lim yang merupakan bekas menteri kewangan berharap polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyebarkan dakwaan itu, yang menurutnya "telah menyakiti individu yang tidak bersalah".

Lim mendakwa ini bukanlah kali pertama 'Papa Azri' membuat tuduhan terhadap anaknya.

'Bimbang kebebasan media zaman PH disalah guna'

Sementara itu, PH mengecam pihak yang masih cuba menyebarkan dakwaan itu, walaupun telah dinafikan oleh ketua polis negara.

"PH memohon kerjasama pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat dalam menulis serta menularkan berita palsu itu.

"Adalah dibimbangi kebebasan media yang dicapai setelah peralihan kuasa 9 Mei 2018 akan disalah guna untuk kepentingan politik, sehingga mengakibatkan timbul rasa tidak senang antara rakyat berbilang kaum di Malaysia," kata Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan.

PH juga berharap media melaporkan berita dengan bertanggungjawab dan "tidak menggadaikan kebebasan yang telah dicapai untuk kembali akur kepada kehendak politik pihak-pihak tertentu".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS