Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Media Kelantan terima sumbangan topeng muka, pembasmi kuman

Prihatin terhadap tugas kakitangan media yang sering terdedah kepada pelbagai keadaaan, sebuah NGO menyampaikan sumbangan topeng muka dan cecair pembasmi kuman kepada ahli Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi wabak Covid-19.

Sumbangan itu disampaikan oleh Persatuan Ayahanda Anakanda Malaysia (PAAK) dengan kerjasama Pemuda Bersatu (Armada) Kelantan dalam acara ringkas yang berlangsung di Kota Bharu, hari ini.

Presiden PAAK Suzainal Adnan Sukri, berkata pihaknya sedar tugas wartawan yang terdedah dengan pelbagai kemungkinan bahaya termasuk Covid-19, ditambah pula dengan Kelantan mencatat kes pertama baru-baru ini.

"Sumbangan ini ialah fasa pertama yang mana kami memilih pengamal media sebagai penerima dan Insya-Allah ia akan diteruskan kepada orang awam kelak.

"Umum mengetahui, agak sukar untuk mendapatkan bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman memandangkan permintaan tinggi pada musim ini," katanya.

Hadir sama, Ketua Armada Bahagian Pasir Mas, Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz dan Presiden Kemudi Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi serta kira-kira 50 pengamal media daripada pelbagai agensi di Kelantan.

Suzainal turut menasihatkan kakitangan media agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan segala saranan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Shahnun Hanif merakamkan penghargaan atas keprihatinan PAAK selain menjadi NGO pertama membantu kakitangan media di Kelantan.

"Penyampaian topeng muka dan cecair pembasmi kuman ini sesuatu yang bermakna kerana kami ada kala terpaksa menjalankan tugas di kawasan yang terdedah dengan pelbagai penyakit.

"Tambahan pula, isu Covid-19 kini sudah sampai ke Kelantan, namun kami terus berusaha yang terbaik untuk menyediakan berita dan informasi tepat kepada masyarakat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS